Kos pengambilan amah Kemboja perlu sama atau lebih rendah dari Indonesia - MAMA

Rahimah Abdullah
Jun 4, 2016 13:41 MYT
Kebanyakan majikan berada dalam situasi terdesak susulan permintaan tinggi terhadap pekerja sektor domestik itu. - Gambar fail
Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) berharap kos pengambilan pembantu rumah dari Kemboja adalah sama atau lebih rendah daripada amah Indonesia yang sedang bekerja dengan majikan di negara ini.
Presidennya, Engku Ahmad Fauzi Engku Mohsein berkata, gesaan itu dibuat susulan kos pengambilan amah ketika ini yang disifatkan terlalu tinggi.
"Majikan tiada pilihan dengan sumber baru pembantu rumah ini diharap kualiti perkhidmatan disediakan nanti adalah setimpal dengan gaji dan kos pengambilan di tahap yang mampu dan tidak melebihi apa pada hari ini kerana amah indonesia tu mahal sangat, kalau boleh biarlah sama seperti gaji semasa amah Indonesia iaitu RM700 atau lebih rendah lagi," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun, menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membawa masuk lebih ramai pembantu rumah dari Kemboja untuk menampung keperluan majikan tempatan.
"Ia perkembangan yang baik memandangkan bekalan (pembantu rumah) kurang daripada permintaan dan sebagai sumber alternatif bekalan baru pembantu rumah, untuk rakyat Malaysia, kita harap langkah kemasukan pembantu rumah itu disegerakan," tegas beliau.
Ditanya kemungkinan berlaku halangan penggunaan bahasa dan sebagainya, ini jawapan beliau:
"Saya tidak melihat bahasa sebagai halangan sebab kita pun ada bawa masuk pekerja dari negara lain juga seperti Bangladesh, Nepal, dan banyak lagi. Mereka boleh belajar sebab Bahasa Melayu ini senang dan tidak akan jadi halangan," jelas beliau.
Jelasnya, kebanyakan majikan berada dalam situasi terdesak susulan permintaan tinggi terhadap pekerja sektor domestik itu.
"Ada majikan yang tersangat terdesak sehingga ada yang terpaksa susun semula gaya hidup mereka termasuk bekerjasama dengan ahli keluarga lain berikutan ketiadaan pembantu rumah atas pelbagai sebab termasuk amah lari dari majikan," kata Engku Fauzi lagi.
Dalam pada itu, MAMA sekali lagi mahu pengambilan pembantu rumah dibuat melalui pasaran terbuka tanpa melibatkan pihak ketiga.
"Dari segi dasar, kos perlu berpatutan dan siapa-siapa sahaja boleh bawa masuk pembantu rumah. Pihak berkuasa perlu buka pasaran, biar majikan ada hak dapat pembantu rumah tanpa ejen," katanya lagi.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan kesediaan Malaysia untuk membawa masuk lebih ramai pembantu rumah warga Kemboja ke negara ini bagi menampung permintaan tinggi majikan tempatan.
Pengumuman itu dibuat Najib selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen di Putrajaya.
#Engku Ahmad Fauzi Engku Mohsein #Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) berharap kos pengambilan pembantu rumah dari Kemboja adalah sama atau lebih rendah daripada amah Indonesia yang sedang bekerja dengan majikan di negara ini
;