Kos pencegahan tinggi jika cadangan RISDA diluluskan - AADK

Astro Awani
Ogos 2, 2016 07:59 MYT
Penanaman daun ketum akan menjadi isu di masa akan datang yang mana hasil tanaman ketum di masa akan datang adalah tidak setimpal dengan jumlah kos yang akan kerajaan tanggung. - Gambar fail
Kerajaan akan menanggung kos pencegahan aktiviti penagihan dadah yang tinggi sekiranya bersetuju untuk meluluskan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ingin melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar untuk dieksport ke luar negara.
Pemangku Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Azizan Ariffin berkata, cadangan ini masih di peringkat awal dan ianya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesan terhadap kesukaran dalam usaha memastikan Malaysia bebas dadah menjelang 2020.
“Kita kesan sekarang ini di sebelah utara, di Perlis dan Kedah ada anak-anak sekolah seumur 7 tahun pun ada bawa ketum kesekolah. Ini akan menjadi isu di masa akan datang yang mana hasil tanaman ketum di masa akan datang adalah tidak setimpal dengan jumlah kos yang akan Kerajaan tanggung untuk membaik pulih anak sekolah ini apabila mereka menjadi penagih tegar nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.
Turut hadir Pengarah (Pencegahan) AADK Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK Melaka Mohamad Yusof Kameh.
Pengkomersilan daun ketum akan membuatkan ia mudah diperolehi dan kemungkinan golongan muda akan menyalahgunakannya.
Tambah Datuk Azizan AADK juga sedang berusaha melakukan pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 yang turut memperuntukkan penyenaraian daun ketum sebagai dadah berbahaya.
#AADK #Azizan Ariffin #daun ketum #Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah #risda #Zahidi Zainul Abidin
;