Kos pemasangan sistem solar kini turun ketara - Nik Nazmi

Irfan Faruqi
Jun 25, 2023 19:16 MYT
Nik Nazmi yakin negara mampu mencapai sasaran penggunaan 70 peratus tenaga baharu pada masa akan datang. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kos pemasangan sistem solar kini turun dengan ketara, sejak tercetusnya perang di Ukraine.
Dalam masa yang sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, harga tenaga berasaskan bahan api fosil telah melonjak.
“Hari ini selepas tercetus perang di Ukraine, kita dapati sebenarnya teknologi telah menjadi lebih murah. Sepertimana berlaku kepada teknologi telefon pintar yang semakin murah, harga solar juga telah turun dengan ketara.
"Pada masa yang sama, harga bahan api fosil telah melonjak. Situasi ini menjawab trilema tersebut dari segi soal mampu milik dan keterjaminan. Ini adalah kerana kita tidak perlu import teknologi seperti solar ini. Sedangkan arang batu perlu kita import dan gas juga perlu kita bersaing untuk dapatkan harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Ahad.
Jelasnya, trend ini memberi kelebihan kepada Malaysia untuk beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih menyeluruh.
Kos pemasangan sistem solar kini turun ketara - Nik Nazmi
Beliau juga yakin strategi yang sudah digariskan oleh kerajaan akan dapat dipenuhi, seterusnya mencapai sasaran penggunaan 70 peratus tenaga baharu pada masa akan datang.
Pada hujung Mac, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli umum akan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga negara selewat-lewatnya akhir Jun tahun ini bagi mempercepat projek peralihan tenaga boleh baharu, sekali gus menstrukturkan semula ekonomi.
Katanya langkah mempercepat peralihan tenaga kepada tenaga boleh baharu bukan sahaja menepati kehendak ekonomi global, malah menjamin kedudukan bekalan tenaga negara pada masa akan datang.
#Agenda Awani #Nik Nazmi #tenaga boleh baharu #tenaga solar
;