Kos meningkat, penggiat industri hotel mahu kerajaan tangani kadar caj rendah

Bernama
Oktober 3, 2024 11:40 MYT
Shaharudin berkata, dalam memorandum Belanjawan 2025 yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, MAHO turut mencadangkan supaya hotel-hotel di Malaysia mempertimbang langkah mengenakan bayaran caj dalam dolar AS untuk warga asing. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kalangan penggiat Industri hotel negara menggesa kerajaan untuk menangani kadar caj bilik hotel yang disifatkan sebagai rendah dalam senario peningkatan kos operasi.
Sambil berharap perkara itu diangkat dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober ini, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharuddin M Saaid berkata ini juga berikutan kadar caj bilik hotel di Malaysia juga jauh lebih rendah berbanding negara jiran.
Sebagai contoh, beliau berkata walaupun hotel lima bintang di rantau ini mengenakan bayaran US$400-500 (US$1 = RM4.15) semalam, hotel Malaysia dalam kategori sama sebaliknya mengenakan caj RM320-450 yang tidak setara.
"Persatuan berpendapat kadar sewa bilik hotel ini perlu mencerminkan standard serta reputasi jenama hotel di Malaysia dalam usaha untuk kekal berdaya saing," katanya kepada Bernama.
Shaharudin berkata memorandum Belanjawan 2025 yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, MAHO turut mencadangkan supaya hotel-hotel di Malaysia mempertimbang langkah mengenakan bayaran caj dalam dolar Amerika Syarikat (AS) untuk warga asing sebagaimana dilakukan oleh hotel jenama sama di luar negara.
Tindakan itu tidak melibatkan pelancong tempatan yang akan terus menikmati bayaran itu dalam ringgit.
Langkah sedemikian dapat membantu hotel dari segi menjana pendapatan lebih besar, menyediakan peruntukan lebih besar bagi tujuan penyelenggaraan selain baik pulih serta pampasan untuk pekerja.
MAHO turut membangkitkan kebimbangan mengenai peningkatan kos bagi tujuan menjalankan perniagaan.
Salah satu cabaran operasi utama adalah peningkatan kos tenaga susulan pelaksanaan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) 20 sen/kilowatt jam (kWj) pada awal tahun ini yang menyebabkan lonjakan perbelanjaan tenaga hotel sebanyak 35-50 peratus.
Shaharudin berkata walaupun surcaj dikurangkan kepada 0.17 sen/kWj baru-baru ini, bebanan terhadap industri hotel tetap ketara.
Selain itu, isu lain adalah peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,500 selain pengurangan tempoh waktu bekerja mingguan di bawah pindaan Akta Kerja yang hanya menjejaskan kewangan hotel.
Sehubungan itu, Shaharuddin berkata MAHO merayu agar kenaikan gaji minimum itu ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 2026 bagi membolehkan industri benar-benar pulih daripada impak pandemik COVID-19.
Persatuan juga berusaha mendapatkan semakan semula insentif Status Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan yang ketika ini hanya melibatkan pembangunan hotel baharu hingga yang berstatus tiga bintang.
"MAHO meminta agar hotel empat dan lima bintang turut disenaraikan dalam insentif bagi mempromosi pelancongan mewah serta menarik kehadiran pelancong yang banyak berbelanja," katanya.
-- BERNAMA
#hotel #kadar caj bilik hotel #Belanjawan 2025 #pelancongan
;