Kos KVMRT sebanyak RM40 bilion sudah tidak relevan - MRT Corp

Bernama
Disember 25, 2016 08:30 MYT
MRT CORP: Kos pembinaan KVMRT sebanyak RM40 bilion sudah tidak lagi relevan untuk dijadikan perbandingan. - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
Kos pembinaan Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) sebanyak RM40 bilion sudah tidak lagi relevan untuk dijadikan perbandingan kerana anggaran itu berdasarkan harga pada tahun 2009.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), menjelaskan, kos itu juga tidak meliputi tren elektrik, sistem berkaitan serta pengambilalihan tanah-tanah.
Kenyataan itu sebagai mengulas komen Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang menyifatkan KVMRT sebagai projek 'tidak menguntungkan.'
Jelas MRT Corp, angka berkenaan diperolehi daripada cadangan konsep pada 2010 yang pada asalnya dikemukakan menerusi cadangan sektor swasta bagi projek KVMRT tiga laluan (dibina secara serentak) kepada kerajaan.
"Namun selepas dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kerajaan melakukan semakan dan kajian cadangan itu yang menyebabkan model projek KVMRT itu diubah secara ketara pada 2010.
"Bercanggah dengan kenyataan Rafizi, projek KVMRT hari ini bukanlah projek yang diswastakan. Ia adalah milik dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi MRT Corp," katanya.
Mengulas lanjut, MRT Corp berkata sebaik pemuktamadan proses pengesahan jajaran dan pemerolehan Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), syarikat itu mengumumkan pada Disember 2012 bahawa bajet kos pembinaan SBK itu adalah RM23 bilion.
MRT Corp turut memperoleh kos anggaran Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) sebanyak RM32 bilion berdasarkan tender yang ditawarkan bagi pembinaan laluan berkenaan.
Kesemua tender-tender bagi laluan SBK dan SSP diserahkan menerusi sistem tender terbuka.
Mengulas cadangan Laluan 3, MRT Corp sentiasa menegaskan bahawa kajian kebolehlaksanaan itu sedang dijalankan dan keputusannya dijangka diketahui pada suku pertama 2017.
Atas alasan itu, MRT Corp tidak mungkin dapat menyatakan anggaran sebenar kos Laluan 3 dan mana-mana angka yang dilaporkan adalah bersifat spekulatif kerana dibuat oleh pihak lain.
"Kami kecewa kerana Rafizi cuba mempolitikkan suatu projek yang jelas sekali memberi manfaat kepada awam. Bagaimanapun, MRT Corp akan terus memberi tumpuan (kepada usaha-usaha) memastikan kelancaran Laluan SBK manakala fasa kedua projek itu dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.
Bagi minggu pertama operasi fasa pertama MRT SBK, kira-kira 210,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu yang membuktikan penerimaan serta keterujaan orang ramai terhadap kemudahan itu.
-- BERNAMA
#KVMRT #MRT Corp #Rafizi #SBK #SPAD #SSP
;