Kos jana elektrik bertambah RM7 bilion, 9 juta pengguna kekal terima rebat 2 sen

Abd Razak Mohd Ali
Julai 12, 2022 17:08 MYT
Pada Jun lepas, kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung manakala ICPT terus dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022. - Gambar hiasan
BUKIT GANTANG: Sembilan juta pengguna domestik akan terus menerima rebat sebanyak dua sen per kilowatt jam (kWj) walaupun kos untuk menjana letrik bertambah RM7 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini.
Menerusi Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), kerajaan menampung RM5.8 bilion manakala bakinya ditanggung sedikit oleh industri yang mencatat keuntungan besar.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kos tambahan itu adalah disebabkan kenaikan harga arang batu, gas serta beberapa keperluan lain.
"Kos untuk penjanaan elektrik untuk bulan Januari hingga Jun tahun ini, kos dia RM7 bilion, ini kos tambahan yang kita beli arang batu, gas dan sebagainya.
"Jadi sepatutnya kos ini ditanggung oleh pengguna tapi kerajaan kita putuskan untuk pengguna domestik, sembilan juta akaun pengguna domestik, semua ni dikecualikan membayar kos ICPT, kos yang dilepaskan ini, sebaliknya kerajaan bagi rebat dua sen satu kWJ," katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Sungai Kerang, Terong, Perak pada Selasa.
Menurutnya, kadar subsidi yang dibayar kerajaan bagi tarif elektrik akan dipaparkan di dalam bil pengguna mulai bulan hadapan.
Katanya, langkah itu bagi memberi penjelasan kepada rakyat yang masih tertanya-tanya mengenai pemberian subsidi tarif elektrik.
Beliau menjelaskan, pengguna industri dan komersial pula hanya perlu membayar tambahan 3.7 sen per kWj, walaupun mereka sepatutnya membayar 11.8 sen.
Pada Jun lepas, kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung manakala ICPT terus dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022.
Surcaj tarif elektrik bagi pengguna domestik pada masa ini kekal pada 3.7 sen per kWj dengan rebat dua sen tanpa sebarang surcaj, manakala pengguna bukan domestik daripada sektor komersial dan industri akan dikenakan surcaj 3.7 sen per kWj.
#Takiyuddin Hassan #tenaga elektrik #pengguna #ICPT
;