Kos ibadah haji 2022 dimuktamadkan lepas dibentang kepada Kabinet - Idris

Astro Awani
November 18, 2021 18:23 MYT
Idris Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan oleh Ouyang Yujing (kanan) kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail di Kompleks Islam Putrajaya pada Khamis. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Kos mengerjakan ibadah haji bagi tahun 2022 hanya akan dimuktamadkan selepas dibentangkan kepada Kabinet.
Sehubungan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad berkata, pihaknya sedang menunggu sesi taklimat yang akan diberikan oleh Tabung Haji dalam masa terdekat.
“Mereka (pengurusan Tabung Haji) baru saja pulang dari Mekah. Saya akan diberikan taklimat oleh Tabung Haji dalam masa terdekat dan benda itu (kos ibadah haji) akan diluluskan oleh Kabinet nanti," kata beliau.
Idris berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui selepas menyaksikan sumbangan wang tunai RM100,000 kepada Foodbank Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Pada tahun lalu, kos mengerjakan haji meningkat sembilan peratus daripada RM22,900 kepada sekurang-kurangnya RM25,000 bagi seorang jemaah.
#kos haji #Tabung Haji #Idris Ahmad #kabinet
;