Kos haji naik: Pas syor kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

Rahimah Abdullah
Mac 30, 2023 14:23 MYT
Menurut Khairil Nizam, Pas juga mahu kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada golongan T20 yang turut terkesan dengan kos sara hidup. - Fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Pas mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melebihi RM3,000 kepada pencarum yang layak bagi menampung kenaikan kos haji pada ketika ini.
Ketua Penerangan Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangan.
"Pas menyedari akan faktor-faktor luar kawal dan luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyebabkan kenaikan kos mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini yang dijangka lebih dari RM31,000 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM28,632.
"Pas juga menyedari bahawa kerajaan akan menanggung penuh kenaikan kos haji bagi golongan B40, manakala golongan M40 perlu membayar tambahan RM3,000 sementara golongan T20 pula perlu melunaskan sendiri bayaran penuh kenaikan kos haji ini.
"Oleh yang demikian, melalui sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin, Pas telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Agama untuk mengurangkan bebanan kenaikan ini kepada bakal Dhuyufurrahman," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Pas mahu Kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada golongan T20 yang turut terkesan dengan kos sara hidup.
"Kerajaan tidak menggunakan kaedah pukul rata kepada golongan T20. Kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan bantuan kepada golongan ini juga berdasarkan kepada faktor-faktor berkait seperti bebanan kewangan, lokaliti dan kos sara hidup.," ujar beliau.
Justeru, Pas berharap Menteri Agama, Datuk Mohd Nai'im Mokhtar mengambil maklum cadangan yang diberikan dan dibincangkan di peringkat kementerian bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang terbabit.
#KWSP #akaun 2 #Khairil Nizam Khirudin #kos haji naik
;