Kos baik pulih pasca bencana boleh cecah 10 kali ganda berbanding kos pencegahan - Pakar

Irfan Faruqi
Ogos 28, 2024 21:33 MYT
Khamarrul Azahari tegaskan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam projek-projek mitigasi bencana seluruh negara. - Astro AWANI / Asyraf Hasnan
KUALA LUMPUR: Kos baik pulih pasca bencana boleh mencecah tujuh hingga 10 kali ganda berbanding kos pencegahan.

Ringkasan AI
  • Kos baikpulih pasca bencana boleh mencecah tujuh hingga 10 kali ganda berbanding kos pencegahan.
  • Keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam projek mitigasi bencana di seluruh negara, kerana pelaburan semasa yang hanya empat peratus daripada belanja kerajaan adalah tidak mencukupi.
  • Pelaburan dalam pengurusan risiko bencana akan meningkatkan keyakinan pelabur, keselamatan pelancong, dan perniagaan di kawasan rentan.

Oleh itu, Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Khamarrul Azahari Razak tegaskan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam projek-projek mitigasi bencana seluruh negara.
"Kata kunci dalam dunia bencana ialah pencegahan adalah segala-galanya. Kos untuk baikpulih selepas bencana adalah lebih tinggi. Ada yang menyatakan kos tersebut mencecah tujuh hingga 10 kali ganda.
“Itu berdasarkan pemerhatian kita dalam rekod-rekod lampau. Pihak kerajaan berbelanja lebih besar untuk membaiki dan memulihkan kawasan-kawasan bencana. Alangkah lebih baik bagi kerajaan untuk salurkan peruntukan-peruntukan tersebut kepada fasa kesiapsiagaan dan pencegahan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Agenda AWANI: Musibah bencana | Jaga diri, jaga semua
Tambah Khamarrul Azahari, pelaburan tersebut wajar ditingkatkan menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). Menurutnya jumlah pelaburan untuk tujuan pengurusan risiko bencana semasa yang mewakili empat peratus daripada belanja kerajaan adalah tidak mencukupi.
“Tahun ini, hampir RM17 bilion peruntukan yang dilaburkan oleh kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana. Tetapi masih belum cukup kerana hanya empat peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan disalurkan untuk tujuan ini.
“Aspek pengurusan risiko bencana ini juga bersifat rentas sektor. Di kala kita mencegah bencana, aspek-aspek pembaikan dan pemulihan menuntut kepada sumber kewangan yang kukuh,” ujarnya.
Khamarrul Azahari turut menjelaskan pelaburan untuk mengurangkan risiko bencana ini, pada masa sama akan meningkatkan keyakinan pelabur, menaiktaraf tahap keselamatan kepada pelancong serta perniagaan-perniagaan rentan di kawasan-kawasan yang rapuh.
#mitigasi bencana #risiko bencana #pelaburan #pelancongan #Rancangan Malaysia