Kos baik pulih ban Terusan Tengah dianggar RM1.8 juta - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Mei 10, 2022 18:07 MYT
Mei 10, 2022 18:07 MYT
JITRA: Kerja-kerja membaik pulih ban kanan Terusan Tengah yang runtuh di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang semalam dianggarkan akan menelan kos sekitar RM1.5 juta sehingga RM1.8 juta.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, kejadian yang berlaku itu adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan dan segala permasalahan akibat kejadian itu akan diselesaikan dalam waktu terdekat.
Menurutnya, ketika ini kerja-kerja membelat sungai sedang dilakukan bagi memastikan paras air kembali kepada paras normal memandangkan terusan berkenaan amat penting khususnya dalam membekalkan bekalan air mentah ke Alor Setar, Pokok Sena dan juga Pendang.
"Kita nak belat balik aliran sungai ini supaya kerja membuat semula ban yang runtuh, dan (jika tidak dilakukan segera, ia) memakan masa yang lebih panjang, jadi untuk tindakan segera, kita membelat sungai ini (supaya) dia akan melimpah balik masuk (ke bahagian) sana,
"Kita perlu peningkatan paras air (berbanding) yang ada sekarang (untuk) meningkat satu meter sahaja lagi agar semua Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi seperti biasa,
"Kos pembaikan ban agak tinggi, kos (membelat) di belakang saya dimaklumkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) setakat ini RM300,000, untuk sediakan belat ini, (bagi) yang di tempat runtuh menelan kos jutaan ringgit, kita akan usahakan supaya dia dapat diperbaiki segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di kawasan runtuhan ban di Pelubang, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata, sebanyak 15,000 akaun pengguna terjejas dengan masalah gangguan air setakat pagi ini susulan LRA Pokok Sena masih tidak dapat beroperasi
Sehubungan itu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan pihak berwajib terutama Syarikat Air Darul Aman dalam memastikan pengguna atau penduduk terlibat tidak terkesan teruk susulan kejadian yang berlaku.
"(Kesemuanya) 13,500 akaun terjejas (yang melibatkan kawasan Pokok Sena), kita (SADA) telah sediakan tiga jumbo tanker dan lori tank yang kecil untuk penghantaran air ke rumah, kita (juga) akan sediakan juga tangki statik di lokasi strategik untuk pengguna terjejas ambil air, (untuk jangka masa masalah ini) saya rasa esok boleh selesai, dia akan (diselesaikan) stage by stage," jelas Muhammad Sanusi.
Terdahulu, ban kanan Terusan Tengah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang runtuh di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang petang semalam telah menyebabkan berlakunya masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan.
Berdasarkan infografik yang dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman (SADA), dua LRA iaitu LRA Pokok Sena dan LRA Bukit Pinang terpaksa dihenti tugas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja kecemasan yang memberi kesan kepada 75,000 akaun pengguna melibatkan kawasan Kota Setar dan Pokok Sena.