Koronavirus: Suspek sebar berita palsu ditahan
Astro Awani
Januari 29, 2020 08:58 MYT
Januari 29, 2020 08:58 MYT
Seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak novel coronavirus (2019-nCov) telah ditahan pihak berkuasa pada Selasa.
Penahanan dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), menurut satu kenyataan dikeluarkan MCMC di Cyberjaya hari ini.
"Suspek berumur 34 tahun itu telah ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada jam 4 petang Selasa bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Jan 2020.
"Kandungan mengenai wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) itu didapati palsu," katanya.
Turut dirampas, telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik kandungan tersebut di laman Facebook terbabit.
Pada masa sama, menurut MCMC, pihaknya sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan.
"Ini menunjukkan ketegasan kedua-dua pihak dalam memastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial," tambahnya.
MCMC berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya.
Pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
MCMC berkata, tindakan tegas tersebut salah satu usaha MCMC dan PDRM dalam mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai wabak 2019-nCov oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.
Perbuatan itu, katanya, mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.
Pada 27 Jan lalu, MCMC dan PDRM telah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan novel coronavirus di Malaysia.
"Penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," kata MCMC.
#2019-nCoV
#amaran
#berita palsu
#coronavirus
#Facebook
#Kanun Keseksaan
#kegentaran awam
#ketakutan
#koronavirus
#MCMC
#media sosial
#PDRM
#penjara
#polis
#siasatan
#Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
#suspek