Koronavirus: Pekerja ECRL pulang ke China dinasihat tidak kembali sehingga keadaan terkawal
Bernama
Januari 28, 2020 23:04 MYT
Januari 28, 2020 23:04 MYT
Pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang pulang ke kawasan dijangkiti 2019 novel koronavirus di China sempena cuti Tahun Baru Cina, baru-baru ini, dinasihatkan supaya tidak kembali bekerja di negara ini sehingga keadaan kembali terkawal.
Pemilik projek dan aset ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata ini antara langkah proaktif diambil pihaknya selari Pelan Pengurusan Kecemasan bagi kawalan penyakit berjangkit termasuk koronavirus dan influenza A yang telah disiapsiagakan kontraktor utama China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCC-ECRL) sebelum cuti perayaan itu bermula lagi.
Langkah-langkah lain termasuk menjalankan pemeriksaan suhu badan dan kawalan kesihatan terhadap semua pekerja di setiap tapak projek berkenaan, menurut MRL dalam satu kenyataan.
"Semua tindakan yang disarankan di dalam pelan tersebut sudah tersedia ada untuk mengekang penularan wabak koronavirus," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA