Koronavirus: Malaysia tidak akan tingkatkan tahap amaran - Wan Azizah
Irwan Muhammad Zain
Februari 8, 2020 19:10 MYT
Februari 8, 2020 19:10 MYT
Malaysia tidak akan meningkatkan tahap amaran berikutan wabak koronavirus kerana keadaan masih di bawah kawalan.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia tidak akan mengikut keputusan Singapura yang meningkatkan tahap amaran dan akan mengadakan perbincangan dengan republik itu berkenaan isu ini tidak lama lagi.
“Kami akan adakan perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi, kita berbeza dengan Singapura, kita bimbang dengan kes-kes tular, namun ketika ini hampir semua kes adalah warga China.
“Kami tidak mahu kes-kes jangkitan di antara warga Malaysia, yang tidak pernah keluar dari Malaysia ke China atau mempunyai hubungan dengan sesiapa sahaja dari China, itu apa yang kita teliti dan bersdia,” katanya pada sidang media berkaitan penularan wabak novel koronavirus pada Sabtu.
BACA: Koronavirus: Pesakit pernah tenat, kini pulih sepenuhnya
Wan Azizah juga menjelaskan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak memberi nasihat agar Malaysia menghalang semua warga China dari memasuki negara ini.
“Kami tidak mahu menimbulkan panik, tetapi masih ada kawalan di sini, kita mesti seimbang, kita perlu jaga ekonomi kita dan kita juga harus berjaga-jaga dengan orang yang masuk (ke dalam negara),” katanya lagi.
Beliau mengakui, sektor pelancongan dan perhotelan terjejas teruk akibat novel koronavirus ini.
"Secara hitam putihnya tidak ada tetapi memang perhotelan dan pelancongan terjejas teruk terutama homestay apabila banyak tempahan dibatalkan dan jumlah pengunjung juga menurun,"katanya.
Setakat ini, Malaysia mencatatkan 16 kes jangkitan koronavirus dengan 12 daripadanya adalah warga China.
Empat yang lain adalah rakyat Malaysia dan semua kes dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di wad pengasingan di beberapa hospital di seluruh negara.
#2019-nCoV
#China
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#koronavirus
#Malaysia
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Singapura
#WHO