Koronavirus: Malaysia Airlines benarkan batal tiket ke dan dari China dengan bayaran balik penuh

Bernama
Februari 2, 2020 13:36 MYT
Tawaran Malaysia Airlines berkenaan terpakai bagi tiket belum digunakan sepenuhnya dan tiket yang telah digunakan sebahagiannya. - Gambar hiasan
Malaysia Airlines hari ini mengumumkan ia akan membenarkan pembatalan tiket dengan bayaran balik penuh selain perubahan ke atas tiket secara percuma bagi penerbangan ke dan dari China.
Langkah tersebut diambil selepas Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengenakan sekatan masuk sementara ke atas warganegara China dan warga asing yang telah mengembara ke China dalam tempoh 14 hari terakhir, berkuat kuasa semalam.
Mereka yang mempunyai Pas Bekerja, Pas Pelajar dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang akan dibenarkan masuk dan tertakluk kepada kuarantin wajib sendiri di rumah selama 14 hari untuk mengurangkan penyebaran wabak 2019 novel koronavirus di negeri itu.
Syarikat penerbangan itu berkata penumpang memegang tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 28 Jan untuk perjalanan bagi tempoh dari 28 Jan hingga 29 Feb ke dan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Xiamen akan dibenarkan untuk pembatalan dengan bayaran balik penuh.
Mereka juga boleh membuat perubahan sekali sehaja bagi tiket penerbangan dengan pengecualian fi perubahan dan pembatalan, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini.
BACA: Koronavirus: Berkuatkuasa serta-merta rakyat China tidak dibenarkan masuk Sarawak
BACA: Larangan masuk warga China ke Sarawak: Ini 5 perkara yang perlu anda tahu
Syarikat penerbangan tersebut berkata tawaran berkenaan terpakai bagi tiket belum digunakan sepenuhnya dan tiket yang telah digunakan sebahagiannya.
Selain itu, perjalanan yang disemak semula atau alternatif mesti pada atau sebelum 31 Mei, 2020 dan tertakluk kepada ketersediaan penerbangan, menurutnya.
"Kakitangan Malaysia Airlines akan mengedarkan borang di kawasan menunggu sebelum berlepas kepada penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu; Kota Kinabalu-Kuching; dan Singapura-Kuching," menurut Malaysia Airlines.
-- BERNAMA
#Bayaran Balik #Beijing #China #koronavirus #kuarantin #Malaysia Airlines #Pas Bekerja #pembatalan tiket #penerbangan #sekatan masuk sementara #Shanghai #wabak #warga asing
;