Koronavirus: Lindungi kesihatan rakyat Malaysia, perketat kemasukan warga asing
Muzaffar Syah Mallow
Januari 26, 2020 11:57 MYT
Januari 26, 2020 11:57 MYT
PIHAK kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia daripada sebarang jenis penyakit berjangkit merbahaya yang tidak mempunyai rawatan pemulihan serta boleh membawa maut. Ini susulan penyebaran penyakit berjangkit koronavirus yang kini menjadi bualan hangat dan kebimbangan orang ramai diserata dunia.
Penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan seseorang yang dijangkiti itu mengalami masalah penafasan yang serius ini mula tersebar di negara China dan kini telah menular ke banyak negara dunia termasuklah negara Korea Selatan, Jepun, Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Perancis serta Malaysia. Beratus-ratus orang dilaporkan telah dijangkiti dengan virus berbahaya ini serta berpuluh orang dilaporkan maut akibat daripada jangkitan virus berbahaya berkenaan.
Memandangkan penyakit koronavirus ini amat merbahaya, adalah penting supaya semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga supaya diri mereka tidak dijangkiti dengan penyakit berjangkit terbabit serta menjadi pembawa kepada penyakit berjangkit berkenaan kepada orang lain.
Pihak kerajaan perlu mengambil segala langkah yang perlu dengan mengawal pintu masuk ke dalam negara kita. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta semua pihak yang berkaitan seperti pihak Jabatan Imigresen perlu bekerjasama memastikan semua pintu sempadan negara kita dikawal dengan lebih ketat supaya tidak ada pihak yang telah dijangkiti dengan penyakit berjangkit berkenaan berjaya masuk ke dalam negara ini dengan mudah dan tanpa diperiksa.
Memandangkan penyakit berjangkit ini boleh tersebar dengan mudah dikalangan manusia, pihak kerajaan perlu mengambil langkah berani dengan menghentikan buat sementara waktu kemasukan warga negara dari negara yang terjejas teruk dengan virus penyakit berjangkit berkenaan seperti negara China.
Langkah menghentikan kemasukan warga negara dari negara yang terjejas teruk dengan masalah virus jangkit berjangkit ini dilihat menjadi satu keperluan mendesak yang perlu diambil oleh pihak kerajaan supaya rakyat Malaysia dapat dilindungi dari sebarang risiko penyakit berjangkit berjangkit dari virus berkenaan.
Proses pengecualian visa kepada pelancong dari negara China yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini juga perlu dihentikan buat sementara waktu sehingga masalah penyebaran virus penyakit berjangkit berkenaan dapat diselesaikan dengan sepenuhnya.
Setiap rakyat China yang masih ingin mengunjungi Malaysia atas apa-apa alasan pun perlu melalui proses saringan yang amat ketat supaya mereka tidak membawa sebarang jenis penyakit berjangkit ke dalam negara kita sehingga boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
Pada masa yang sama juga, pihak kerajaan juga perlu mengeluarkan larangan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang ingin melakukan lawatan ke negara China pada masa kini bagi mengelakkan diri mereka dijangkiti dengan penyakit berjangkit yang sedang menular dengan teruk di negara China.
Selain daripada pihak kerajaan, setiap individu perlu memainkan peranan mereka juga. Setiap individu perlu mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan diri mereka tidak menjadi mangsa kepada penyakit berjangkit berkenaan. Setiap individu perlu memberi keutamaan kepada aspek kesihatan diri masing-masing.
Setiap individu perlu mengelakkan diri mereka daripada terdedah dengan risiko kepada penyakit berjangkit yang sedang menular pada masa kini. Setiap individu perlu mengamalkan aspek kebersihan diri mereka pada tahap optima.
Beberapa langkah yang boleh diamalkan agar tidak terkena dengan virus ini adalah dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air, elakkan menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang kotor (tidak berbasuh), elakkan diri daripada dekat dengan mereka yang sedang sakit, jika diri didapati tidak sihat, duduk di rumah sahaja, tutup mulut menggunakan tisu atau tuala kecil ketika batuk atau bersin, kemudian buang tisu tersebut ke dalam tong sampah dan basuh tangan, gunakan penutup mulut ketika berada dikhalayak orang ramai orang dan lain-lain lagi.
Jika seseorang itu mendapati diri mereka tidak sihat, mereka perlu segera berjumpa dengan pihak doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Usaha kesedaran perlu dilakukan pada setiap masa oleh pihak media supaya orang ramai dapat ketahui dengan lebih terperinci mengenai penyakit berjangkit terbabit serta mengambil segala langkah yang perlu bagi menanganinya.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) perlu kerap melakukan proses penyebaran maklumat mengenai penyakit berjangkit yang sedang berlaku pada masa kini kepada orang ramai. Pelajar-pelajar disekolah juga perlu didedahkan dengan isu penyakit berjangkit ini.
Semua lapisan dalam masyarakat kita perlu sentiasa didedahkan dengan keadaan terkini terhadap isu penyakit berjangkit ini serta diberi pendidikan yang secukupnya bagi menghadapi masalah penyakit berjangkit yang sedang dialami diserata dunia pada masa kini.
* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI
#Amerika Syarikat
#China
#Imigresen
#Jepun
#Kementerian Kesihatan
#keselamatan
#koronavirus
#pelancong
#pendidikan
#pengecualian visa
#rakyat Malaysia
#warga asing