Koronavirus: Kuarantin rakyat Malaysia di Pulau Jerejak? Ini jawapan Tun Mahathir
Hasimi Muhamad
Januari 29, 2020 18:23 MYT
Januari 29, 2020 18:23 MYT
Pulau Jerejak, di Pulau Pinang tidak akan dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang bakal dibawa pulang dari Wuhan, China susulan penularan wabak koronavirus di wilayah berkenaan, kata Perdana Menteri.
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, pulau itu ketika ini tidak lagi dijadikan sebagai lokasi tahanan.
“Tidak, bukan Pulau Jerejak (lokasi kuarantin). Kita ada hospital, bukan di Pulau Jerejak.
“Pulau Jerejak pun tidak lagi jadi tempat penahanan,” katanya pada sidang media khas, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai lokasi untuk mengkuarantin rakyat Malaysia dari Wuhan memandangkan Pulau Jerejak sebelum ini pernah dijadikan lokasi “tahanan” buat rakyat Malaysia yang baru pulang dari Mekah.
Sebelum itu, Dr Mahathir dalam sidang media sama berkata kerajaan sedia membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan dalam tempoh terdekat.
Jelas beliau, semua rakyat Malaysia itu jika dibawa pulang nanti, akan diperiksa dan disaring terlebih sebaik tiba di negara ini termasuk dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan senarai 26 hospital di seluruh negara yang akan berfungsi sebagai hospital rujukan bagi mengendalikan kes disyaki (PUI) dan sahih bagi novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).
Daripada jumlah itu, sebanyak 15 hospital di Semenanjung, enam di Sabah, empat di Sarawak dan satu di Labuan.
Pulau Jerejak yang terletak di selatan Pulau Pinang sebelum ini pernah dikenali sebagai lokasi penempatan banduan, tahanan perang dan pusat kuarantin pesakit kusta.
Ia turut mendapat nama samaran ‘Alcatraz Malaysia’ kerana terdapat Pusat Pemulihan Jerejak yang menempatkan banduan dibuang negeri.
#China
#Hospital
#Kementerian Kesihatan
#koronavirus
#kuarantin
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#Pulau Jerejak
#Putrajaya
#rakyat Malaysia