Koronavirus: KKM pantau lima kes pesakit di Kuala Lumpur, Langkawi dan Bintulu

Wan Syamsul Amly
Januari 27, 2020 13:03 MYT
Dr Dzulkefly meninjau pelaksanaan saringan di KLIA. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang menunggu hasil keputusan makmal untuk lima kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) koronavirus.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, kes-kes itu dilaporkan dua di Kuala Lumpur, dua di Langkawi dan satu di Bintulu.
Jelasnya, sejak 10 Januari 2020 sehingga 26 Januari, jam 10.00 malam, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan adalah 37 kes, di mana 18 adalah warganegara Malaysia, 18 warganegara China dan satu warganegara Jordan.
"Daripada jumlah 37 kes PUI ini, terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV seperti bagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.
"Sementara itu, sebanyak 32 kes PUI adalah negatif (18 warganegara Malaysia, 13 warganegara China dan satu warganegara Jordon), manakala empat (4) lagi kes PUI yang kesemuanya warganegara China, masih menunggu keputusan makmal yang akan diketahui dalam masa yang terdekat.
"Sehingga kini, sebanyak 19 kes PUI ini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil," katanya semasa sidang media perkembangan koronavirus di sini, pada Isnin.
[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!
Terdahulu, Dr Dzulkefly mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.
Beliau turut membuat pemeriksaan di kaunter imbasan terma di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.
Dalam pada itu jelasnya, tiga daripada lapan orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura didapati positif jangkitan masih dirawat di wad isolasi dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
"Sehingga kini, sebanyak 17 kontak rapat kes positif 2019-nCoV telah dikenal pasti dan diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka," ujarnya.
Sementara itu, kata Dr Dzulkefly, hingga 26 Januari 2020, jam 3.00 petang, seramai sembilan daripada 164,692 penggembara yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa disaring dan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun, kesemua penggembara ini didapati tidak memenuhi kriteria PUI 2019-nCoV sebagaimana yang ditetapkan dalam tatacara pengurusan virus 2019-nCoV No 02/2020.
"Pengembara ini telah dibekalkan dengan kad amaran kesihatan, di mana sekiranya gejala yang dialami semakin serius, pengembara berkenaan perlulah mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan," katanya.
Sementara itu, katanya, sebanyak 12 lagi kaunter imbasan terma akan ditambah di seluruh pintu masuk negara untuk memastikan tahap keselamatan negara berada pada peringkat terbaik.
Beliau turut menasihati orang ramai tidak menyebar berita palsu mengenai virus ini dan memastikan setiap perkembangan terkini dipastikan benar sebelum dikongsikan.
Menurutnya, KKM akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa mengenai isu tersebut selain sidang media untuk berkongsi perkembangan terkini koronavirus.
#Kementerian Kesihatan Malaysia #kes pesakit di bawah pemantauan #koronavirus #PUI
;