Koronavirus: Kerajaan gantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari Wuhan
Firdaus Azil
Januari 27, 2020 16:25 MYT
Januari 27, 2020 16:25 MYT
Kerajaan Malaysia telah menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Menurut kenyataan PMO, kemudahan itu termasuk kemudahan tanpa visa (eNTRY), visa semasa ketibaan (visa on arrival), e-visa, dan visa manual.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei tersebut dan ianya adalah berkuatkuasa serta merta.
"Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal," kata PMO dalam kenyataan itu lagi.
Selain itu, ia berkata, Wisma Putra akan menyelaraskan keputusan itu bersama Kerajaan China.
Dalam pada itu, PMO berkata, Kerajaan Malaysia juga mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan novel koronavirus ini yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.
BACA: Koronavirus: Kerajaan gantung sementara kemasukan rakyat China dari Wuhan, Hubei dan kelilingnya