Koronavirus: Cerita tular tidak sahih hanya ganggu tugas doktor - Pakar

Azyyati Ahmad
Januari 30, 2020 11:05 MYT
Cerita-cerita tular yang tidak sahih mengenai virus Novel Coronavirus dilihat menganggu tugas doktor yang berperanan merawat pesakit.
Cerita-cerita tular yang tidak sahih mengenai virus Novel Koronavirus (2019-nCoV) sedikit sebanyak menganggu tugas doktor yang berperanan merawat pesakit.
Menurut Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr C. Suresh Kumar, setiap kali cerita yang tidak benar mengenai penularan 2019-nCoV disebarkan, pihaknya perlu menerangkan semula kepada orang ramai mengenai perkara sebenar.
“Memang masalah besar buat para doktor, kami ingin beri tumpuan kepada pesakit. Tetapi setiap kali ada keluarnya berita tidak benar, saya perlu memberi penjelasan sebenar mengenai perkara itu.
“Itu membuang banyak masa kami. Saya harap semua mempercayai apa yang kami jelaskan, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap hari mengeluarkan kenyataan mengenai Novel Koronavirus.
"Diharapkan ramai periksa web KKM sebelum sebarkan berita yang tidak benar,” katanya yang berperanan merawat pesakit yang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.
Jelas Dr Suresh, seseorang yang tiada kontak dengan pesakit yang dirawat atau tidak membuat penerbangan ke China tidak perlu risau dan panik.
Ini kerana virus Novel Koronavirus masih lagi dalam peringkat terkawal kerana mereka yang disyaki telah dilakukan pengasingan lebih awal, kata Dr Suresh.
Sebelum ini, seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak novel coronavirus (2019-nCov) telah ditahan pihak berkuasa pada Selasa.
Penahanan dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), menurut satu kenyataan dikeluarkan MCMC di Cyberjaya pada Rabu.
PDRM dan SKMM menegaskan pihak mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan novel koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.
#2019-nCoV #Dr C Suresh Kumar #Hospital Sungai Buloh #Kementerian Kesihatan #MCMC #novel koronavirus #PDRM #Polis Diraja Malaysia #SKMM #viral koronavirus #viral tidak benar #viral virus
;