Koronavirus: 14 warga Hubei, China cuba masuk Malaysia dihantar balik ke negara asal

Rahimah Abdullah
Januari 30, 2020 13:59 MYT
Kesemua 14 pengunjung dari Hubei, China dikenakan arahan Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) dan dihantar pulang ke negara asal, kata Muhyiddin Yassin. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Seramai 14 pengunjung dari wilayah Hubei, China yang cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya dikesan dan dihalang oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada Selasa lalu, ujar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kesemua mereka, jelas Muhyiddin, dikenakan arahan Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) dan dihantar pulang ke negara asal.
"Semalam pada mesyuarat jemaah menteri, saya ada menyebut mengenai tindakan-tindakan seterusnya yang diambil oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengikut arahan dengan tidak membenarkan pelawat-pelawat dari Wuhan dan Hubei masuk ke Malaysia.
"Semalam dilaporkan, pada 28 Januari, ada 14 warga China dari Wuhan mendarat di KLIA tetapi kita telah mengeluarkan arahan Not To Land (NTL) dan telah pun dihantar balik ke tempat asal mereka," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman di sini pada Khamis.
Kesemua warga China itu dikenal pasti melalui hasil semakan pasport mereka di KLIA.
"Mereka dari Wuhan di (wilayah) Hubei. Apabila mereka mendarat, pasport mereka akan disemak oleh imigresen. Itu cara kita semak. Kita melihat asal mereka dari mana. Kalau dari Hubei, jadi mereka dihantar pulang kerana NTL," tambahnya lagi.
Jelasnya, langkah dilakukan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
"Ini adalah SOP yang sedia ada dan digunapakai untuk menentukan tiada pembolosan di sempadan kita yang kita wartakan," kata Muhyiddin.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, berkata kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pelawat dari wilayah Hubei dan Wuhan memasuki Malaysia bagi mencegah penularan wabak koronavirus.
BACA: Koronavirus: Pelawat dari Wuhan, Hubei dihalang masuk ke Malaysia - Tun Mahathir
#Bukit Aman #China #Imigresen #Ketua Polis Negara #KLIA #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #novelkoronavirus #Perdana Menteri #polis #SOP
;