Koridor perjalanan Malaysia dan Indonesia tunjang pemulihan ekonomi - Penganalisis
Madiha Abdullah
November 11, 2021 16:08 MYT
November 11, 2021 16:08 MYT
KUALA LUMPUR: Koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia dilihat sebagai projek perintis untuk kerjasama seumpama itu di masa hadapan.
Penganalisis Ekonomi dari Universitas Indonesia, Dr Fithra Faisal Hastiadi berkata, dengan trend pemulihan pasca pandemik serantau yang menunjukkan petanda positif sejak akhir-akhir ini juga dipacu oleh pembukaan ekonomi yang bakal diperkukuhkan dengan kerjasama tersebut.
"Pembukaan ekonomi penting untuk pemulihan pasca pandemik. Kita sedar menangani COVID-19 adalah keutamaan tetapi prospek pemulihan ekonomi juga perlu dilihat signifikan.
"Perjanjian dalam kerangka bilateral dan serantau seperti koridor ini merupakan perintis dalam projek-projek yang akan datang, mampu menjadi tunjang pemulihan ekonomi bukan sahaja Malaysia dan Indonesia tetapi juga negara serantau yang lain," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.
Tambahnya, kerjasama dalam kesihatan juga perlu dalam memastikan kedua-dua negara dapat sama-sama bergerak ke arah pemulihan.
"Pandemik bukan isu negara atau rantau, tetapi ia isu global, jadi penyelesaiannya juga perlu dilakukan bersama.
"Kerangka ini penting terutama dalam aspek perkongsian data, maklumat dan pengalaman. Di Indonesia, kerajaan sedar kepentingan menangani pandemik harus jadi keutamaan, maka usaha yang selari dijalankan, begitu juga di Malaysia.
"Kita ada pengalaman yang sama dan jika ini dikongsi, bayangkan kekuatan yang kita mampu bina dalam menangani pandemik ini," ujarnya.
Malaysia dan Indonesia semalam mencapai persetujuan untuk melaksanakan koridor perjalanan di antara kedua-dua negara, pasca COVID-19.
Sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah.
Malaysia-Indonesia | Setuju laksana koridor perjalanan