Korea Utara lancar peluru berpandu balistik ke Laut Timur
Bernama
Mei 25, 2022 12:15 MYT
Mei 25, 2022 12:15 MYT
SEOUL: Korea Utara pada Rabu melancarkan tiga peluru berpandu balistik ke arah Laut Timur, menurut tentera Korea Selatan.
Menurut Ketua Turus Bersama (JCS) pihaknya mengesan peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan Sunan di Pyongyang pada jam 6 pagi, 6.37 pagi dan 6.42 pagi dan ia merupakan pelancaran kali ke-17 Korea Utara tahun ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Sambil memperkukuh aktiviti pemantauan dan kewaspadaan, tentera kami dengan kerjasama erat Amerika Syarikat, mengekalkan langkah siap siaga sepenuhnya," menurut JCS.
Pelancaran itu menyusuli spekulasi Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) atau ujian nuklear untuk meningkatkan kehadiran tenteranya, di tengah-tengah wabak COVID-19 dan masalah ekonomi.
-- BERNAMA