Korea Selatan mansuh kuarantin mandatori untuk semua ketibaan antarabangsa

Bernama
Jun 8, 2022 13:53 MYT
Korea Selatan merekodkan 13,358 jangkitan baharu COVID-19, termasuk 59 kes dari luar negara, menjadikan angka keseluruhan setakat ini mencecah 18,188,200. - Gambar fail
SEOUL: Korea Selatan pada Rabu menarik balik arahan kuarantin tujuh hari bagi semua ketibaan antarabangsa, dalam usaha negara itu kembali menjalani kehidupan normal susulan penurunan kes COVID-19.
Negara itu merekodkan 13,358 jangkitan baharu COVID-19, termasuk 59 kes dari luar negara, menjadikan angka keseluruhan setakat ini mencecah 18,188,200, lapor agensi berita Yonhap, memetik Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).
Sehingga Rabu, seramai 44.6 juta, atau 86.9 peratus rakyatnya telah lengkap divaksin, dan 33.32 juta (64.9 peratus) menerima suntikan dos penggalak pertama mereka.
Sementara itu, lebih 4.19 juta orang (8.2 peratus) sudah mendapat suntikan penggalak dos kedua, menurut KDCA.
Namun, pelancong antarabangsa masih perlu mengambil ujian virus PCR dalam tempoh tiga hari selepas memasuki Korea Selatan.
Pelancong juga diminta menyerahkan keputusan negatif ujian PCR atau ujian antigen pantas -- sebelum menaiki penerbangan ke Korea Selatan.
Bermula Jun, Korea Selatan menambah jumlah penerbangan antarabangsa kepada 732 berbanding 532 pada Mei susulan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon kembali normal serta permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #pelancong #kuarantin #kesihatan
;