Korea Selatan dijangka perkenal matawang digital tahun hadapan

Amanz
November 25, 2023 12:45 MYT
Bank of Korea akan menggunakan konsep Central Bank Digital Currency (CBDC), iaitu sebuah konsep matawang digital yang dikeluarkan oleh bank pusat. - Gambar/ Amanz
KERAJAAN Korea Selatan, melalui bank pusat mereka, Bank of Korea dilaporkan akan memperkenalkan matawang digital mereka sendiri pada tahun depan, dan akan diuji keberkesanan penggunaannya oleh 100,000 individu terpilih.
Bank of Korea akan menggunakan konsep Central Bank Digital Currency (CBDC), iaitu sebuah konsep matawang digital yang dikeluarkan oleh bank pusat, dan bukan bank-bank digital yang menggunakan wang digital mereka sendiri.
Projek perintis ini, yang dijangka bermula pada suku keempat tahun 2024 memperlihatkan Bank of Korea mengeluarkan token deposit dalam bentuk CBDC, dan akan diagihkan ke bank-bank tempatan terpilih, yang kemudiannya akan diberi kepada 100,000 pengguna yang akan membolehkan mereka membeli-belah di kedai-kedai di sana.
Menurut laporan The Korea Times, matawang digital ini boleh digunakan sama seperti sistem baucer yang digunakan sewaktu wabak COVID-19, tetapi dengan pelbagai cabaran dan halangan dikurangkan, seperti bayaran transaksi yang tinggi, pengesahan transaksi yang perlahan dan kes-kes penipuan.
Walaupun begitu, untuk projek perintis CBDC ini, penggunaan matawang digital ini adalah terhad kepada pembelian barang-barangan sahaja. Untuk tempoh projek tersebut, perkhidmatan seperti kiriman wang menggunakan CBDC ini adalah tidak dibenarkan. - Amanz
#Korea Selatan #matawang digital #bank pusat #transaksi digital
;