Korea Selatan, Asean mampu jadikan ekonomi serantau inklusif, dinamik - Najib

Bernama
Disember 11, 2014 19:02 MYT
NAJIB: Korea Selatan dapat membantu memastikan ekonomi serantau menjadi inklusif dan dinamik dengan kerjasama bersama rakan Asean lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Korea Selatan supaya terus menjadi rakan strategik Asean bagi meneruskan kerjasama dalam merealisasikan penyepaduan ekonomi yang lebih mendalam - Asean yang dinamik untuk Asia dan dunia.
Korea Selatan katanya dapat membantu memastikan ekonomi serantau menjadi inklusif memandangkan kerjasama bersama rakan Asean lain akan membolehkannya menjadi lebih dinamik.
Korea dan Asean terlibat dalam sekurang-kurangnya empat rangka kerja - Perjanjian Rangka Kerja bagi Kerjasama Ekonomi Komprehensif, Kerjasama Asean+3, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Rakan Usaha Sama Ekonomi Komprehensif (RCEP).
"RCEP memberi nafas kepada konsep utama Asia. Sepuluh anggota Asean bersama enam rakan, menyumbang hampir 30 peratus kepada perdagangan dunia. Menjelang pertengahan abad ini, angka itu akan meningkat kepada 50 peratus," katanya semasa berucap pada sesi penutupan Sidang Kemuncak CEO Asean-Korea Selatan di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan (BEXCO) di sini.
Najib tiba di sini hari ini untuk lawatan dua hari dan menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Korea Selatan selepas menamatkan lawatan ke Seoul.
Perdana Menteri berkata penyepaduan dan pengukuhan ekonomi menerusi RCEP dapat membuka peluang besar kepada ekonomi di negara-negara di rantau ini.
"Justeru, saya meminta supaya anda bekerja bersama kami bagi merealisasikan RCEP," katanya dalam ucapan kepada peserta Sidang Kemuncak CEO Asean-Korea Selatan.
Najib berkata perusahaan Korea terus menyumbang kepada peningkatan ekonomi Asean, memacu pembangunan dengan menyokong perniagaan yang pesat berkembang dan melabur untuk masa depan rantau yang dinamik ini, dan kini bersama-sama kita mesti menetapkan arah tuju hubungan Asean-Korea untuk dekad akan datang.
Korea Selatan kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Asean dengan jumlah dagangan bernilai US$135 bilion, dan secara kolektifnya Asean ialah rakan dagang kedua terbesar Korea.
Sejak tiga tahun lepas, pelaburan Korea di rantau ini mencecah US$7 bilion. Korea kini merupakan sumber pelaburan asing kelima terbesar Asean, dan Asean pula ialah destinasi pelaburan ketiga terbesar Asean.
Perdana Menteri juga berharap Korea Selatan dapat memacu arah Asean dan memimpin kumpulan itu dalam menyediakan sokongan bermakna kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini.
Korea katanya telah menunjukkan pada dunia bahawa transformasi ekonomi merupakan perjalanan yang berterusan, dan telah menggerakkan model pertumbuhan yang dipacu oleh syarikat besar selain menggalakkan penyertaan PKS.
"Antara kebimbangan utama negara anggota Asean ialah impak liberalisasi ke atas PKS negara yang menyumbang lebih daripada 95 peratus perusahaan negara.
"Oleh itu kita mesti memastikan entiti ini dimasukkan dalam rangkaian bekalan dan nilai, mereka juga mesti memperoleh manfaat daripada integrasi ekonomi yang diperkukuh ini," katanya.
Najib berkata Malaysia yang mempengerusikan Asean tahun depan menganggap ia merupakan tempoh yang sangat penting memandangkan kumpulan itu akan mewujudkan Komuniti Asean.
Ia merupakan langkah berani dan mencabar, yang membuka cara baharu dalam era baharu kerjasama Asean, dengan integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh, dan hubungan yang lebih erat dengan 600 juta penduduk Asean.
"Asean yang bersepadu, baik untuk perniagaan. Namun untuk menjadikannya lebih bermakna kepada Komuniti Asean, penduduk di 10 negara anggota mesti merasakan dan memikirkan Asean.
"Atas sebab-sebab inilah Malaysia memilih tema - RAKYAT KITA, KOMUNITI KITA, VISI KITA. Kita perlu menjadikan Asean relevan untuk semua rakyat," katanya sambil menambah bahawa inisiatif dan aktiviti pada tahun akan datang akan melibatkan belia, usahawan wanita, PKS dan komuniti perniagaan.
Perdana Menteri berkata sepanjang kepimpinan Malaysia, negara anggota Asean akan bekerja bersama-sama untuk merangka agenda pasca 2015, dengan keutamaan memastikan penyepaduan menjurus kepada pewujudan dan pengagihan kekayaan yang saksama.
"Kita mesti memperkukuh penyepaduan dan keterangkuman kewangan. Kita mesti memastikan semua sektor ekonomi terlibat sepenuhnya dalam Komuniti Ekonomi Asean.
"Impian kami jelas, memacu pertumbuhan pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih luas, dan memastikan Asean menjadi semakin kompetitif," katanya.
Perdana Menteri berkata Komuniti Asean juga perlu meningkatkan tadbir urus, lebih telus, dan meningkatkan fokus serantau terhadap pembangunan mampan dengan mematuhi etika perniagaan supaya penyepaduan rantau ini memberi manfaat kepada ramai, dan bukan hanya sebilangan orang.
"Banyak yang kita perlu lakukan, dan kami menghargai persahabatan rakan dan sekutu ketika kami berusaha untuk membangunkan Asean yang lebih bersatu.
"Saya meminta Korea supaya terus menjadi rakan strategik ketika kami memulakan usaha ke arah penyepaduan ekonomi yang lebih kukuh. Asean yang dinamik merupakan bintang yang bersinar - bagi Asia dan dunia," katanya.
#xxx
;