Korban wang, masa dan tenaga demi wujudkan peluang kedua buat bekas banduan, penagih dadah

Ridauddin Daud
Mei 3, 2022 16:28 MYT
Keluar masuk penjara bertemu banduan, itu rutin biasa buatnya namun resettlement atau kelangsungan hidup mereka yang diberi perhatian kerana sehigga kini, isu tersebut masih belum selesai. - Foto i-Kembali
SEPANG: Rakyat Malaysia memang suka membantu.
Ada saja golongan yang berdepan kesukaran, bantuan pantas hadir. Kadang entah dari mana datangnya, semua ada untuk membantu.
Namun, mungkin ada yang terlupa kepada insan yang pernah meringkuk di sebalik tembok besi. Adakah yang sudi membantu? Apakah peluang kedua wujud buat mereka?
Cabaran membantu mereka pastinya berbeza dan banyak ceritanya, namun ada yang sanggup menyahut cabaran demi kehidupan lebih baik buat mereka yang pernah terkhilaf.
Semalam, Astro AWANI membawa laporan peserta i-Kembali yang bertekad untuk berubah dan di sebalik semua itu, berdiri insan ini yang memastikan mereka tidak lagi tersasar.
Menerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad merencana pelbagai strategi demi peluang kedua buat bekas banduan.
Keluar masuk penjara bertemu banduan, itu rutin biasa buatnya namun resettlement atau kelangsungan hidup mereka yang perlu diberi perhatian kerana sehigga kini isu tersebut masih belum selesai.
“Kita (pertubuhan sepertinya) masuk ke dalam penjara, itu normal. Mana-mana orang pun ada masuk tapi kita perlu yakinkan mereka bahawa ini bukan mudah. Untuk bimbing pula selama 12 bulan. Saya ini NGO biasa sahaja.
“Saya bawa satu solusi untuk diberi kepada Jabatan Penjara. Satu konsep iaitu hijrah, bangkit, buang balik persepsi masyarakat yang mana perlunya mereka ini diberi peluang kedua. Biasa cakap ada peluang kedua tapi resettlement mana?” katanya kepada Astro AWANI.
Lebih dua tahun bersama mereka, ibu kepada tiga anak itu semakin memahami sikap masing-masing. Hubungan juga semakin akrab malah semua peserta memanggilnya ‘Ummi’.
Menurut Siti Murni, mereka benar-benar ingin berubah namun apabila tiada sokongan, mereka kembali hanyut dan kerana itu, Siti Murni perlu sentiasa ada untuk membimbing mereka.
“Saya didik mereka macam anak saya, sakit mereka bila tengah malam pun saya datang. Mereka ini kadang-kadang ada yang tiada ibu bapa, keluarga tak terima, ibu bapa pun tak terima, adik beradik mereka pun tak terima.
“Tiada sokongan, sudah tak diletakkan kepercayaan kepada mereka. Saya yang mendengar sentiasa, tak kiralah dari mana saya dapat mereka,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Dari luar, semuanya nampak baik sahaja, berjalan lancar namun Siti Murni akui, kadangkala dia berdepan cabaran terutamanya dalam menangkis fitnah dan anasir luar yang seolah-olah tidak senang dengannya.
Bahkan, dia mendakwa buat masa ini, dia tidak menerima bekas banduan baharu seja Disember tahun lepas namun ia tidak sedikitpun melunturkan semangatnya.
Bekas Banduan | Usah diskriminasi, wajar beri peluang kedua
“Isu-isu yang berbangkit ini sepatutnya haruslah kita duduk, musyawarah yang baik, maka kerana itu i-Kembali sampai ke tahap ini tapi khabar angin luar kata saya begitu, begini.
“Sampaikan JTK datang untuk siasat saya. Tapi saya tiada hidden agenda kerana pada saya i-Kembali mengikut arahan Jabatan Penjara.
“Saya tidak ada hidden agenda tapi agenda i-Kembali bukan saja ‘resettlement’ untuk mereka bekerja sahaja. Apabila 12 bulan mereka berjaya, saya ada peluang keusahawanan untuk mereka,” ujarnya.
Katanya lagi, kini lebih 3,000 orang bekas banduan telah dibantu dan i-Kembali sedia untuk menerima dan membantu lebih ramai.
Tersimpan rapi dalam sanubarinya, Siti Murni percaya, peluang kedua wujud dan baginya, mereka semua adalah aset negara meskipun kadangkala ada yang lupa bahawa mereka juga manusia biasa.
#penjara #hari raya #bekas banduan #penagih dadah #i-Kembali
;