Korban pertama banjir di Pahang, lelaki lemas dihanyut arus bersama motosikal

Mohd Zalani Md Atan
Disember 17, 2021 17:30 MYT
Kejadian jam 12.40 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa cuba menyeberang jalan yang dinaiki air. - Gambar/ JBPM Pahang
KUANTAN: Seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus bersama motosikalnya ditemui lemas di kawasan ladang sawit yang dilanda banjir berhampiran Jalan Pulau Manis-Gambang, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Taman Tas, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, berkata terdahulu kejadian jam 12.40 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa cuba menyeberang jalan yang dinaiki air.
"Mangsa kemudian dihanyutkan arus ke kawasan ladang sawit berhampiran.
"Pasukan bomba menemui mayat mangsa kira-kira pukul 2.20 petang pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Menurutnya, ini adalah korban pertama banjir di Pahang kali ini.
#banjir pahang #korban pertama #penunggang motosikal lemas #Kuantan
;