Korban nahas tragedi 3 Syawal di Chukai meningkat ke enam orang

Nur Fazlizai Ali
April 24, 2023 07:40 MYT
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh, Chukai, Terengganu pada Isnin. - Astro AWANI
KEMAMAN: Korban nahas di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh, Chukai, Terengganu, yang berlaku petang Isnin kini meningkat ke enam orang setakat jam 2 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Hanyan Ramlan, dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital.
Mangsa dikenal pasti sebagai Rosliza Mat Hussin, 38 dan Nur Alisha Mardiah Mohammad Ubaidillah Zikri, 2.
Empat mangsa yang lain maut di lokasi kejadian dan dikenal pasti sebagai Tuan Yah Dollah, 61, Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23 dan Abdul Halim Ismail, 71.
Kemalangan petang Isnin itu melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Persona.
Kereta Proton Persona pertama yang dinaiki lapan individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun menghala ke Bandar Baru Cheneh, Kemaman.
Manakala kereta Proton Persona kedua pula dinaiki lima individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Perasing dekat Jabor menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh Mohd Hafiezul Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan melibatkan dua buah kereta proton persona itu pada jam 4.47 petang.
Lima anggota dari BBP Cheneh dan enam anggota yang bersedia di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi.
#Nahas #Hospital Kemaman #meninggal dunia #rawatan
;