Korban banjir Pahang ditemukan dekat jambatan kereta api Bukit Betong
Aira Abdul
Januari 8, 2021 14:44 MYT
Januari 8, 2021 14:44 MYT
LIPIS: Selepas lima hari hilang mayat seorang lagi wanita yang dibawa arus deras dalam kejadian bot terbalik di Sungai Jelai ditemukan di Kuala Sungai Tanum, berhampiran jambatan kereta api Bukit Betong hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, mayat mangsa, Nur Zakirah Ahmad Hussin,19, ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 11 pagi Jumaat.
"Mayat mangsa ditemukan berhampiran Jambatan Keretapi Bukit Betong yang terletak kira-kira 11 kilometer dari tempat kejadian di jambatan gantung Tanjung Gahai Sungai Koyan
"Pihak polis telah pergi dan membawa keluar mayat tersebut di bawah jambatan Bukit Betong," katanya di sini, hari ini.
Isnin lalu, dua beranak hilang dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki mereka untuk melihat keadaan rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Bertang terbalik.
Banjir | Kompaun gagal patuhi SOP ketika banjir
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dua mangsa iaitu bapa dan seorang anak berjaya menyelamatkan diri manakala dua mangsa lagi yang merupakan ibu dan anak perempuan dipercayai hilang dibawa arus.
Mayat mangsa, Rozi Omar, 52, kemudiannya ditemukan tersangkut pada pokok pisang pada hari kedua kejadian.
Menurut Azli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi itu ditutup pada pukul 12.45 tengah hari.
#banjir pahang
#mangsa banjir
#rozi omar
#Hospital Lipis
#bedah siasat
#mangsa
#mayat
#bencana banjir 2021
#Nur Zakirah Ahmad