Kor Polis Tentera Diraja diseru tidak terlibat kumpulan pengganas Daish

Bernama
November 12, 2016 07:38 MYT
Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja Datuk Mohd Nasser Murad berkata kumpulan pengganas itu meletakkan anggota tentera sebagai sasaran kerana kepakaran mereka berperang. - Gambar fail
Warga Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan penipuan pengganas Daish yang menyasar angkatan tentera menyertai kumpulan militan itu.
Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja Datuk Mohd Nasser Murad berkata kumpulan pengganas itu meletakkan anggota tentera sebagai sasaran kerana kepakaran mereka berperang.
"Ancaman militan Daish ini telah menular ke negara kita dan mereka merekrut rakyat tempatan dan sasaran utama adalah anggota tentera yang mempunyai kepakaran untuk berperang.
"Bertambah lebih kompleks apabila wujudnya musuh dalam selimut yang tidak dapat kita ketahui mana puncanya," katanya.
Beliau berucap pada majlis perbarisan dan pertunjukan Army Red Warrior (AGW) sempena ulang tahun Kor Polis Tentera Diraja ke-63 di Padang Kawad, Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) di sini, pada Sabtu.
Perbarisan Kor Polis Tentera Diraja itu disertai 15 pegawai dan 179 anggota diketuai Lt Kol Khairul Zaman Bahari.
Pada majlis yang sama, sejumlah 11 anggota berpangkat sarjan dan tiga korporal menerima pingat perkhidmatan setia manakala dua anggota lagi masing-masing menerima anugerah olahragawan dan olahragawati.
Kira kira 500 orang terdiri daripada anggota, pegawai, pesara Kor Polis Tentera Diraja dan tetamu hadir menyaksikan demonstrasi ARW yang menampilkan aksi lagak ngeri yang berlangsung selama 15 minit. -- BERNAMA
#kor polis tentera #KPTD #militan Daish #pengganas
;