'Kor Ming hina Aidilfitri, mahu alih isu Guan Eng' - Armand

Wan Syamsul Amly
Julai 10, 2016 14:59 MYT
ARMAND: 'Sayangnya isu yang dibuat Kor Ming ini hanya memakan diri sendiri dan tidak dapat menutup kelemahan pemimpin DAP.' - Gambar fail
Tindakan Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya dan menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri dilihat cubaan mengalih pandangan rakyat dalam isu rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia sekali gus tindakan melulu dan tidak memikirkan sensitiviti umat Islam yang sedang merayakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.
"Kor Ming sengaja buat isu untuk alih perhatian rakyat mengenai isu rasuah banglo milik Guan Eng. Apabila ramai orang bercakap mengenai isu rasuah yang melibatkan pemimpin DAP ini, Kor Ming berusaha menutupnya dengan membangkitkan isu lain.
"Sayangnya isu yang dibuat Kor Ming ini hanya memakan diri sendiri dan tidak dapat menutup kelemahan pemimpin DAP. Ia seharusnya menjadi teladan kepada pemimpin DAP yang lain agar tidak menyentuh sensitiviti agama dalam apa juga usaha menyelamatkan maruah DAP secara keseluruhannya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, status Facebook milik Kor Ming memuatkan satu gambar karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika Hari Raya sebagai rasuah.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Kelab Warisan Malaysia (Keris) Azman Hassan dalam satu laporan polis memberitahu pemberian duit raya adalah satu amalan yang mulia kerana memberikan sedekah dan perkara itu telah dipolitikkan oleh Kor Ming.
Mengikut akaun Facebook yang bernama Nga Kor Ming, satu status yang dimuat naik pada 5.15 petang 6 Julai, yang bertajuk "Hanya di Malaysia di bawah UMNO, Selamat Hari Raya", satu karikatur menunjukkan dua budak sedang meminta derma daripada seorang individu.
Dalam perbualan dialog yang ditulis dalam karikatur itu, seorang budak telah bercakap "Tahun ni kami tak mintak duit raya.. kami mintak derma.." manakala seorang lagi menjawab "Tak dapat derma, dedak pun ok..." dan karikatur itu diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin".
Dalam pada itu tegas Armand, Kor Ming perlu membuat permohonan maaf terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini selepas tuduhan melulunya itu.
"Sudah jelas salah, dia perlu minta maaf, jangan buat tidak tahu sahaja.
"Kor Ming mahu alih isu Guan Eng, tetapi akhirnya terjerat diri. Kini mereka tersepit dengan isu rasuah Guan Eng dan ditambah dengan isu hina Aidilfitri, tanggunglah akibatnya," katanya.
Sebelum ini, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.
#Armand #Guan Eng #Kor Ming #Pemuda UMNO #Rasuah
;