'Kor Ming dalang api perkauman negara' - Pemuda UMNO

Wan Syamsul Amly
Julai 12, 2016 16:33 MYT
Kira-kira 700 ahli Pemuda UMNO menyertai perarakan mendesak Kor Ming meminta maaf di ibu pejabat DAP hari ini. - Gambar fail
Pemuda UMNO mendesak anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming meminta maaf secara terbuka di atas perbuatannya yang memuat naik lukisan karikatur di akaun Facebooknya yang menghina Aidilfitri baru-baru ini.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, perbuatan Kor Ming disifatkan permainan politik kotor yang sengaja mahu membakar keharmonian kaum negara yang dinikmati selama ini.
"Terbaharu, tindakan Kor Ming yang menafikan sekeras-kerasnya bahawa lukisan karikatur dimuat naik di akaun Facebook yang menghina Aidilfitri adalah miliknya dilihat mainan politik kotor anggota Parlimen Taiping itu sendiri.
"Saya melihat mainan politik Kor Ming ini terlalu bahaya dan melambangkan sikap ekstremis.
"Saya menganggap Kor Ming sebagai dalang api perkauman yang sangat bahaya sekiranya sikap dan perangai begini diteruskan oleh seorang pemimpin," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairul Azwan serta 700 ahli Pemuda UMNO lain menyertai perarakan mendesak Kor Ming meminta maaf di ibu pejabat DAP.
Sebelum ini Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, ketiadaan pemimpin DAP yang mengecam perbuatan Kor Ming yang memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya dan menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri dilihat menghairankan.
Tegasnya, ia berlainan dengan semangat DAP selama ini yang dikatakan memperjuangkan hak semua rakyat.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar sebelum ini turut mengecam tindakan Kor Ming itu dan menganggapnya tidak menghormati kesucian agama Islam malah menunjukkan pemimpin DAP itu tidak mempunyai semangat patriotik.
Ia disokong Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng yang menyifatkan tindakan Kor Ming itu sebagai tidak sensitif dan tidak peka dengan budaya serta amalan rakyat Malaysia.
Selain itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, tindakan Kor Ming itu dilihat cubaan mengalih pandangan rakyat dalam isu rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Jelasnya, ia sekali gus tindakan melulu dan tidak memikirkan sensitiviti umat Islam yang sedang merayakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.
#Armand #Guan Eng #Ibdilillah #Khairul Azwan #Kor Ming #Pemuda UMNO #Rasuah
;