Kopi durian lalok: 'Ini mungkin kerja sindiket' - Subramaniam
Astro Awani
Februari 4, 2018 15:09 MYT
Februari 4, 2018 15:09 MYT
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima pemberian paket minuman yang diberi secara percuma terutamanya daripada orang yang tidak dikenali.
Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ia dibimbangi mengandungi kandungan bahan asing seperti dadah yang boleh mengakibatkan keadaan tidak keruan keatas peminumnya.
Subramaniam berkata, pihaknya menerima dua lagi laporan terbaru kejadian mangsa diserang gejala seperti sawan selepas meminum kopi campuran yang diberikan individu tidak dikenali.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pengedaran kopi yang dicampur bahan asing disyaki dadah itu didalangi satu sindiket yang kini sedang bergerak aktif khususnya di Pulau Pinang.
“Seperti dimaklumkan kami dan pihak polis, kami cukup percaya ada bahan kimia psiko-aktif yang dimasukkan ke dalam kopi pracampuran, maka kami ingin polis menyiasat bagaimana bahan kimia ini yang seakan dadah berjaya dicampurkan, kami juga sedang menyiasat kilang terbabit,” katanya di sini hari ini.
Malah, tambah beliau, pihaknya turut mendapat maklumat bahawa kopi berperisa durian tersebut dibekalkan kepada ejen-ejen tertentu di negeri itu untuk diagihkan kepada orang ramai.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Terapi Holistik di Georgetown pada Ahad.
Minggu lalu, seramai lima individu termasuk dua pengawal keselamatan warga Nepal dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat diserang gejala seperti sawan dan letih teruk selepas meminum kopi berperisa durian yang diberikan individu tidak dikenali.
Mengulas lanjut, Subarmaniam berkata, siasatan awal terhadap kilang yang mengeluarkan kopi tersebut juga tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan pengeluar kopi berkenaan dengan kes tersebut.
Sehubungan itu, katanya penjualan minuman kopi tersebut tidak akan dihentikan sehinggalah keputusan akhir diterima.
Setakat ini, katanya, kes tersebut hanya dikesan di negeri Pulau Pinang dan motif pengedaran tersebut masih belum diketahui.
Sabtu lalu, polis mengesahkan kopi campuran segera yang menyebabkan lima individu mengalami gejala lemah dan pening teruk disyaki mengandungi dadah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata rakaman percakapan dengan seorang pegawai Teknologi Makanan, Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang mengesahkan kandungan benda asing, disyaki dadah yang masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata, keputusan itu adalah hasil analisa makmal terhadap kandungan paket kopi yang diminum dua warga Nepal, yang dimasukkan ke HPP pada Selasa, akibat pitam selepas minum kopi campuran segera berkenaan.
#Dadah
#Kementerian Kesihatan
#keselamatan
#kopi durian
#kopi lalok
#kopi pracampuran
#mangsa
#Nepal
#polis
#S Subramaniam
#siasatan
#sindiket