Koperasi terjejas ditawar penjadualan semula TPM-SKM - Mas Ermieyati
Astro Awani
Februari 26, 2021 22:47 MYT
Februari 26, 2021 22:47 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana koperasi yang terjejas pendapatannya akibat kesan pandemik COVID-19 ditawar membuat penjadualan semula bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan-Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) selepas tamat tempoh moratorium pada 30 September 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, selain itu, koperasi diberi peluang untuk mendapat pembiayaan TMP-SKM sehingga RM100,000 tanpa cagaran dengan grace period (tempoh penangguhan) selama enam bulan.
"Lanjutan daripada pengumuman kerangka Inisiatif Tambahan Khas, Kita Prihatin yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September 2020 yang lalu, Kerajaan melalui MEDAC telah melaksanakan inisiatif khas kepada koperasi-koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Langkah ini bagi membantu koperasi dalam menghadapi kelembapan operasi perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Mas Ermieyati melakukan lawatan kerja ke Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad untuk melihat aktiviti koperasi iaitu ternakan ayam kampung dan fertigasi cili sentel.
Koperasi ini telah didaftarkan pada 24 Jun 2020 dengan modal syer sebanyak RM32,500.
Koperasi ini mempunyai seramai 28 orang anggota dan ditunjangi enam Anggota Lembaga Koperasi.
Mas Ermieyati kemudian mengadakan lawatan ke Koperasi Komong Jasin Berhad.
Koperasi ini didaftarkan pada 6 Julai 2018 dengan memiliki modal syer sebanyak RM5,000 hasil penglibatan 50 anggota.
Koperasi ini diterajui oleh enam orang anggota Lembaga Koperasi (ALK) dengan menjalankan aktiviti tanaman jagung mutiara dan silaj batang jagung.
"Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah meluluskan permohonan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) sebanyak RM25,000 bagi mengatasi kesan kerugian akibat banjir yang membadai koperasi pada hujung tahun 2020.
"Koperasi ini juga merupakan salah satu koperasi yang terlibat di bawah Program Desa Lestari (PDL) anjuran Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan geran yang diluluskan sebanyak RM846,650 pada tahun 2017.
"Kelulusan tersebut dikhaskan bagi membiayai projek tanaman jagung seluas 46 ekar di kawasan Kampung Chin Chin Jasin Melaka," ujarnya.
Jelasnya, aktiviti tersebut memberi manfaat, limpahan ekonomi serta peluang perniagaan kepada komuniti setempat yang juga merupakan anggota-anggota koperasi.
Program Explorasi diakhiri dengan lawatan ke Koperasi Ibu Bistari Melaka Berhad. serta tinjauan terhadap aktiviti pusat kecantikan dan urutan spa yang dijalankan pihak koperasi.
"Koperasi ini merupakan salah satu koperasi di negeri Melaka yang mengkhaskan keanggotaannya kepada golongan wanita sahaja.
"Kemapanan koperasi ini ditunjukkan seawal pendaftarannya pada 23 Mac 2019 hasil komitmen modal syer terkumpul sebanyak RM25,180 oleh 158 orang anggota," katanya.
Menurut rekod perangkaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka (SKM Melaka) bagi tahun 2020, sebanyak empat akaun pembiayaan TMP-SKM telah diluluskan kepada koperasi di negeri Melaka dengan jumlah pembiayaan berjumlah RM600,000.
Bagi tahun 2021, jumlah pembiayaan TMP-SKM diperuntukkan kepada koperasi di negeri Melaka adalah sebanyak RM4.3 juta.
Manakala bagi skim Bantuan Pembangunan Perniagaan Koperasi pula, bagi tahun 2020 sebanyak 5 buah koperasi telah mendapat kelulusan dengan melibatkan penyaluran dana berjumlah RM277,521.
Bagi tahun 2021, jumlah skim Bantuan Pembangunan Perniagaan yang ditawarkan kepada koperasi di Melaka adalah sebanyak RM270,000.
Katanya lagi, sehingga 31 Disember 2020 jumlah koperasi yang berdaftar di bawah penyeliaan SKM Melaka adalah sebanyak 447 buah koperasi dengan memiliki bilangan anggota keseluruhan sebanyak 145,711 orang.
"Komitmen jumlah modal syer atau yuran dan aset-aset terkumpul masing-masing adalah berjumlah RM106.84 juta dan RM494.83 juta.
"Manakala bagi turnover (perolehan) keseluruhan koperasi yang berdaftar di negeri Melaka adalah berjumlah RM72.78 juta," jelasnya.
#koperasi
#COVID-19
#pandemik
#Tabung Modal Pusingan
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#Mas Ermieyati Samsudin
#Muhyiddin Yassin
#PKP
#PKPB
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#perintah kawalan pergerakan
#ekonomi