Koperasi digalak terlibat dalam ternakan dan import ayam - Noh Omar

Fareez Azman
Julai 17, 2022 17:42 MYT
Noh (tengah) melancarkan Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena bulan Koperasi Kebangsaan di Taman Botani Negara, Shah Alam pada Ahad. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Semua koperasi di negara ini digalakkan terlibat dalam sektor ternakan dan import ayam dalam memastikan bekalan dengan harga lebih murah dapat diberikan kepada rakyat.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, ketika ini pihaknya masih dalam peringkat perbincangan bagi mempersiapkan usaha itu.
"Saya dah nyatakan salah satu langkah koperasi, kita nak usahakan nanti mengalakkan koperasi terlibat dalam ternakan dan mengimport ayam beku.
"Harganya lebih murah dan rakyat ada dua pilihan, iaitu ada ayam segar dan sejuk beku.
"Ini dalam peringkat akhir, mesyuarat esok yang terakhir sebelum kita (putuskan) untuk membawa masuk ayam itu," jelasnya.
"Maknanya (bekalan dari) pelbagai negeri (negara), persiapan telah berjalan untuk kita pastikan sijil halal, dan kita dapat maklumat semuanya dari rumah sembelih yang halal. Bila dah masuk esok, kita akan buat kenyataan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena bulan Koperasi Kebangsaan di Taman Botani Negara, Shah Alam pada Ahad.
Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi #Noh Omar #bekalan #Ayam
;