Koperasi berdaftar kumpul RM156.18 bilion aset tahun ini - Ewon
Bernama
Disember 31, 2022 19:41 MYT
Disember 31, 2022 19:41 MYT
KOTA BELUD: Sebanyak 14,975 koperasi berdaftar di seluruh negara berjaya mengumpul aset berjumlah RM156.18 bilion tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata lebih membanggakan, koperasi dengan keanggotaan 7.03 juta orang di seluruh negara itu juga berjaya mengumpul modal syer dan yuran berjumlah RM16.52 bilion tahun ini.
Menurut Ewon daripada jumlah itu, sebanyak 1,661 koperasi berdaftar di Sabah berjaya memperoleh aset terkumpul lebih RM822 juta serta modal syer dan yuran terkumpul lebih RM220 juta.
"Koperasi berdaftar di Sabah yang mempunyai 343,230 orang ahli berjaya mencatat perolehan lebih RM268 juta tahun ini," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad ke-4 di sini hari ini.
Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Umar Sarim Saidin, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin dan Pengerusi Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad Danial Sagun.
Sementara itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata kerajaan prihatin terhadap cabaran dihadapi gerakan koperasi yang turut menerima impak negatif akibat penularan COVID-19 dan telah menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu mereka terkesan.
"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya telah melaksanakan beberapa pelan pemulihan ekonomi bagi membantu sektor koperasi antaranya penangguhan bayaran balik pinjaman dan Tabung Bantuan Koperasi berjumlah RM2 juta," katanya.
-- BERNAMA