Koperal Polis Marin didakwa lagi 101 tuduhan rasuah
Abd Razak Mohd Ali
Januari 27, 2021 15:40 MYT
Januari 27, 2021 15:40 MYT
IPOH: Selepas didakwa 43 pertuduhan rasuah pada Selasa, seorang anggota Polis Marin didakwa di atas 101 lagi tuduhan rasuah melibatkan lebih RM243,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Rabu.
Tertuduh, Koperal Zubairi Abdul Mutalib, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indera Nehru.
Dia yang bertugas sebagai Ketua Jentera Bot Ronda di Pengkalan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan, didakwa menerima suapan wang tunai daripada tujuh individu antara RM7,285 hingga RM123,390 mulai 2016 hingga 2019.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terdapat bot-bot nelayan milik individu berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
Dia dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dia turut dituduh dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM48,000 untuk semua 144 pertuduhan, termasuk 43 tuduhan yang dikenakan pada Selasa.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri.
Pada Selasa, tertuduh didakwa di mahkamah yang sama atas 43 pertuduhan rasuah berjumlah RM146,350 antara Mei 2016 hingga Julai 2019.
#polis marin
#tuduhan rasuah
#Rasuah
#Mahkamah Sesyen Ipoh
#Zubairi Abdul Mutalib
#Pengkalan Polis Marin Kampung Acheh
#Sitiawan
#Kanun Keseksaan
#SPRM
#suapan wang tunai