Koperal polis didakwa terima suapan
Bernama
Oktober 28, 2014 16:27 MYT
Oktober 28, 2014 16:27 MYT
Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM1,150 pada 2013.
Koperal Nordin Kamat, 55, dituduh menerima suapan itu daripada Ng Lap Ken sebagai dorongan tidak mengenakan tindakan terhadapnya yang menjalankan perniagaan cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) haram.
Dia melakukan kesalahan itu di premis nombor 89, Jalan Tingkat Kurau 4, Taman Chai Leng, pada 10 malam, 28 Okt 2013.
Nordin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
Hakim Julie Lack menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam Jason Khoor.