Koperal ditahan reman, disyaki lakukan gangguan seksual terhadap tahanan lokap

Bernama
April 12, 2016 21:11 MYT
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata anggota itu disiasat di bawah Seksyen 337C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii tanpa persetujuan. - Gambar fail
Seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan reman selama enam hari sejak Ahad lepas berikutan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang tahanan bawah umur di sebuah lokap di Jinjang.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata anggota itu disiasat di bawah Seksyen 337C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii tanpa persetujuan.
"Suspek merupakan anggota polis yang bertugas pada waktu berkenaan dan kejadian tersebut berlaku di sudut tepi sel di dalam lokap," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Wad 5PA, Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan polis yang tersebar di laman sosial mengenai salah laku seorang anggota polis yang didakwa melakukan seks oral terhadap seorang tahanan di kawasan tertutup di dalam lokap di Jinjang baru-baru ini.
Sementara itu, pada majlis tersebut Amar Singh menyerahkan tiga buah kerusi roda kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sempena sambutan Hari Polis ke-209.
Beliau berkata sumbangan tersebut adalah sebagai tanda ikatan hubungan erat antara pihak polis dan pihak pusat perubatan.
Turut hadir Pengarah PPUM Prof Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.
#anggota polis #gangguan seksual #Jinjang #lokap
;