Koperal dipercayai bunuh diri ada kebenaran simpan pistol - KP Seremban
Faris Danial Razi
Mac 26, 2021 22:25 MYT
Mac 26, 2021 22:25 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota polis berpangkat koperal yang ditemui mati di dalam kereta bersama anaknya di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya, mempunyai kebenaran untuk menyimpan senjata pistol.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim, anggota berusia 35 tahun itu juga bertugas pada hari sama sewaktu kejadian berlaku iaitu Khamis petang (25 Mac).
“Ya, sejak dia berpangkat detektif, dia telah diberi kebenaran untuk menyimpan senjata itu selama 24 jam. Saya sendiri yang memberi izin untuk dia menyimpannya atas tujuan kerja.
“Dakwaan bahawa dia telah mengambil senjata dari pusat simpanan senjata tanpa kebenaran adalah tidak benar,” jelasnya ketika dihubungi The Star.
ACP Mohd Said turut menambah bahawa si mati tidak perlu mengembalikan pistolnya ke pusat simpanan senjata setelah selesai bertugas pada hari itu.
"Ada dua jenis detektif, satu kumpulan diminta untuk mengembalikan senjata mereka setelah menyelesaikan tugas mereka untuk hari itu, sementara yang lain dibenarkan untuk menyimpannya," katanya.
Proses bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat mangsa mendedahkan kedua-duanya meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.
Mayat Koperal J Rajkumar dan anaknya R Jevesh Kumar, 7 ditemui oleh orang ramai di sebuah kereta di jalan raya di Taman Sentosa Jaya sekitar jam 6.40 petang pada Khamis.
Mohd Said berkata pihaknya masih menyiasat apa yang mencetuskan kejadian itu dan akan melihat dari semua sudut serta cuba menyelesaikan siasatan secepat mungkin.
Kedua-dua mangsa akan disemadikan pada Sabtu (27 Mac).