Koperal didakwa buat laporan polis palsu

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 8, 2021 11:40 MYT
Varathraju (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu pada Ogos lepas. --fotoBERNAMA
IPOH: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu pada Ogos lalu.
S Varathraju Pillai, 39 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat laporan polis palsu kepada seorang polis wanita di Balai Polis Pusat di sini kira-kira 3.33 petang, 27 Ogos lalu.
Ekoran laporan itu, anggota polis wanita berkenaan menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang, sebagai seorang penjawat awam.
Varathraju didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili Peguam Amrick Singh Sandu.
Menurut peguam tertuduh, maklumat lanjut mengenai laporan polis palsu akan diketahui pada tarikh sebutan semula kes.
#anggota polis mengaku tidak bersalah #laporan palsu #Koperal #Balai Polis Pusat Ipoh
;