Koperal cawangan khas Bukit Aman didakwa bunuh rakan setugas

Bernama
Februari 14, 2014 14:37 MYT
Seorang koperal dari cawangan khas Bukit Aman hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh rakan setugasnya, awal bulan lalu.
Kpl Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha, 33, kelihatan tenang dan mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Wan Masrul Faiezie didakwa membunuh Lans Kpl T.Thivakar, 37, di tepi Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, di sini antara kira-kira 4.11 petang hingga 4.50 petang, 4 Feb lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Peguam Sheelan Arjunan hadir sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.
Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes itu, sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan, dipercayai ditembak dari jarak dekat.
Mayatnya ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang, yang kemudian memaklumkannya di Balai Polis Travers di sini.
#Bukit Aman #bunuh #mahkamah #PDRM #polis
;