Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 tiba di Kuala Lumpur
Bernama
Ogos 18, 2022 06:30 MYT
Ogos 18, 2022 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah 19 hari menjelajah seluruh Malaysia, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM) akhirnya tiba di ibu negara sebagai destinasi terakhir dengan sambutan ketibaan berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Bandar Tun Razak, di sini kira-kira 4.00 petang.
Ketibaan peserta konvoi yang menaiki 41 kenderaan pelbagai jenis termasuk kelab motosikal K16 dengan 62 peserta disambut Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar dan Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Lim Ann Teck.
Kamarudin ketika dalam ucapannya berkata kerajaan memberikan kebebasan atau kebenaran penggunaan media sosial yang kini menjadi medium interaksi utama generasi muda untuk digunakan menyebarkan maklumat baik dan tepat.
"Justeru, saya menyeru kepada generasi muda atau generasi pewaris perlu berfikir dengan matang dalam setiap tindakan supaya nikmat kemerdekaan yang kita kecapi terdahulu terus kekal selama-lamanya dan tidak diruntuhkan akibat perbuatan dan tindakan kita.
"Kebebasan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah secara fizikal tapi perlu memerdekakan jiwa dan minda dalam membentuk jati diri kukuh supaya tidak terpengaruh dengan dakyah luar yang boleh melunturkan semangat cintakan negara," katanya.
Sementara itu, Lim berkata sambutan KMKM peringkat Kuala Lumpur bermula Khamis dengan peserta konvoi yang bergerak dari Negeri Sembilan telah singgah di Petronas Technology Park, Sungai Besi dan kemudian ke Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas bagi meraikan sambutan Bulan Kebangsaan 2022 bersama warga pendidik dan pelajar di kampus.
"Seterusnya, hari terakhir esok peserta konvoi KMKM akan berada di beberapa lokasi strategik termasuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang awam di Restoran Firdouse, Jalan Kuching, KL Sentral dan akan menutup tirai kembara di Lobi Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.
Terdahulu, Ketua Konvoi KMKM 2022 Negeri Sembilan yang juga Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Zaaba Abu Bakar menyerahkan baton Jalur Gemilang kepada Lim sebagai simbolik bermulanya KMKM bagi Kuala Lumpur pada Khamis.
-- BERNAMA