Konvensyen Kerajaan Perpaduan: Jadikan pentas dialog asas pemerkasaan mahasiswa
Azyyati Ahmad
Mei 15, 2023 12:58 MYT
Mei 15, 2023 12:58 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadikan pentas dialog sebagai usaha dalam memastikan pemerkasaan mahasiswa di negara ini yang dilihat sebagai pemangkin kejayaan Malaysia Madani.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain, dengan beberapa komitmen Kerajaan Perpaduan pada konvensyen yang digariskan semalam, pihak universiti juga seharusnya merebut peluang dengan dasar terbuka kerajaan ketika ini.
Kata Prof Izani, banyak kementerian yang boleh terlibat dalam pemerkasaan mahasiswa termasuk membabitkan isu-isu yang membelenggu golongan itu seperti kediaman pelajar, bantuan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan akses wifi.
“Kalau kita bercakap bagaimana nak membantu pelajar-pelajar universiti, bukan sahaja melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi, tetapi banyak lagi kementerian lain yang dapat membantu menjayakan usaha pemerkasaan mahasiswa dan mengupayakan potensi pelajar termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Maka kita dapat melihat bagaimana dalam konteks modal insan, bagaimana mahu melahirkan graduan yang holistik, ia bukan sahaja peranan Kementerian Pendidikan Tinggi malah (turut memerlukan) kementerian lain dengan komitmen kerajaan ketika ini.
“Semalam apabila disebut tentang bagaimana kerajaan hendak memberi fokus tentang makanan, kualiti pendidikan dan kediaman, sewajarnya pihak universiti menggunakan platform ini sebagai peluang untuk demand dan menggunakan ini sebagai platform demi kepentingan mahasiswa di universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Pantau Kos Sara Hidup pada Isnin.
Jelas Prof Izani lagi, dengan adanya kestabilan politik banyak perkara boleh dilakukan termasuk agenda kemajuan mahasiswa yang perlu menjadi objektif utama Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana kejayaan Malaysia Madani sangat bergantung kepada peranan sektor pendidikan tinggi, kerana sektor inilah yang melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi kemakmuran ekonomi.
#Malaysia Madani
#pendidikan
#Kerajaan Perpaduan
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan