Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan keberdayaan bahasa komuniti
Astro Awani
November 6, 2024 12:00 MYT
November 6, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR : Pemupukan dan inovasi perlu dilakukan demi kelangsungan sesebuah bahasa seperti memperbanyakkan bahasa dialek dan bahasa kolokial dimasukkan ke dalam kamus agar menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan.
Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, menerusi Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 anjuran Arkib Negara ia diharap dapat mengumpulkan dan mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya ia kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.
“Saya turut mencadangkan agar penggunaan teknologi terkini dan multi disiplin seperti pendekatan Geographical Information System (GIS) digunakan oleh pengkaji bahasa bagi melaksanakan perluasan kajian ke atas bahasa kolokial dan dialek di semua negeri melibatkan semua bangsa, etnik dan suku kaum di Malaysia.
“Dari aspek pendidikan pula, saya mencadangkan agar pengajian atau pelajaran mengenai bahasa kolokial dan dialek/loghat tempatan dijadikan sebagai silibus bagi pengajian kebahasaan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Antara program yang boleh dilaksanakan termasuklah penceritaan, puisi dan seni persembahan menggunakan bahasa kolokial,” katanya ketika merasmikan konvensyen tersebut pada Rabu.
Sebanyak 11 siri Bicara Bahasa Kolokial telah dilaksanakan sejak tahun 2023 bagi mengangkat peranan bahasa sebagai agen perpaduan.
Konsep nasionalisme bahasa telah menjadi asas penting dalam pembentukan konsep kenegaraan melalui dasar-dasar negara terutama Dasar Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Perpaduan Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.
Konvensyen yang berlangsung selama dua hari ini menampilkan pemimpin pengkaji bahasa dan budaya, penggiat seni sastera dan budaya, ahli akademik, agensi sawasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan belia, pegawai kerajaan, penuntut IPT, dan juga komuniti pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak.
Ia bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik bagi mendokumentasikan dan melestarikan penggunaan bahasa kolokial dalam kalangan masyarakat.