Konvensyen GPS 7 Nov ini ditunda - Abdul Karim

Azizah Alwi
November 2, 2021 21:46 MYT
Keputusan itu dibuat sebagai mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan perhimpunan sosial berkaitan politik diadakan.
KUCHING: Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijadual berlangsung pada 7 November ini ditangguhkan, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan perhimpunan sosial berkaitan politik diadakan.
“Saya sudah menyelidik sendiri dengan penganjur kenapa perhimpunan GPS yang sepatutnya diadakan minggu depan (7 November) ditunda.
“Jadi maklum balas yang diberi kepada saya, kita mematuhi arahan daripada KKM supaya tidak ada perhimpunan politik diadakan, tiada sebab lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penangguhan pada sidang media selepas penyampaian insentif kepada atlet Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.
Abdul Karim menyifatkan penangguhan konvensyen sebagai tindakan wajar bagi mengelak sebarang risiko penularan COVID-19 .
“Saya lihat dari segi perspektif yang satu lagi memang itu adalah satu tindakan yang bertanggungjawab daripada GPS.
“Kita tidak mahu apabila orang ramai-ramai 200, 300 datang. Kita tidak tahu mereka datang dari seluruh negeri, maka kita bimbang akan berlakunya kluster Perhimpunan GPS,” katanya.
Tindakan itu juga katanya ternyata membuktikan GPS sentiasa mementingkan keselamatan rakyat.
“Ketepikan dahulu perhimpunan parti demi keselamatan rakyat, maka dengan ini kita akur dengan arahan KKM,” ujarnya.
Konvensyen GPS sepatutnya diadakan pada 7 November ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang akan menghimpunkan delegasi membabitkan empat komponen parti GPS dari seluruh pelusuk negeri.
Setakat ini belum ada tarikh baharu ditetapkan selain penganjurannya dilakukan secara maya.
#Konvensyen GPS ditunda #penularan COVID-19 #SOP KKM #perhimpunan sosial
;