Konvensyen: Frasa "Dulu Lawan Sekarang Kawan" cetus perhatian hadirin, pemimpin Kerajaan Perpaduan

Bernama
Mei 14, 2023 23:37 MYT
Wee berkata politik sekarang adalah mengenai variasi idea dan fikiran. Perspektif kini bukan seperti era 90-an dan tidak lagi dilihat pada identiti politik semata-mata. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Frasa "Dulu Lawan Sekarang Kawan" yang disampaikan dalam bentuk pantun oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencuit perhatian hadirin dan pemimpin kerajaan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Tema permainan kata disampaikan yang rata-ratanya menyeru ke arah kebersamaan disahut dengan sorakan dan tepukan gemuruh seakan-akan tanda penerimaan menyeluruh oleh para perwakilan di peringkat akar umbi terhadap semangat kemuafakatan yang dibawa oleh pimpinan pusat.
"Dulu lawan kini kawan,
Dulu kawan kini lawan,
Tak kisah lawan atau pun kawan,
Yang penting hati rakyat mesti ditawan", katanya.
Pantun ringkas itu ternyata berhasil dalam menterjemahkan mood konvensyen ketika Wee berucap sebagai panel pada sesi bicara rakyat bagi mengupas tajuk "Membina Negara Bangsa" berkata landskap politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 menuntut parti politik bersifat lebih dinamik dan inklusif.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak ketinggalan untuk bermain madah dengan pantunnya yang tersendiri ketika sesi ucapan pimpinan utama, bertemakan hasrat kerajaan yang bertekad untuk menegakkan teras Malaysia MADANI selain mengetengahkan agenda rakyat.
Ahmad Zahid ketika berpantun menyebut:
Kemajmukan sama-sama kita tekuni,
Agenda rakyat kita dahului,
Pelbagai bangsa kita santuni,
Demi keutamaan Malaysia MADANI.
Terdahulu Wee berkata politik sekarang adalah mengenai variasi idea dan fikiran. Perspektif kini bukan seperti era 90-an dan tidak lagi dilihat pada identiti politik semata-mata.
"Menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong, pembentukan Kerajaan Perpaduan berjaya direalisasikan secara demokrasi mengikut perlembagaan, yang membuka ruang konsensus yang baik dalam membina negara bangsa yang dipandang tinggi oleh masyarakat dunia," katanya.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata partinya yang terkenal dengan slogan "Lawan Tetap Lawan" mengakui pihaknya kini perlu menukar tema slogannya kepada "Dulu Lawan Kini Kawan" bagi menyemarakkan lagi semangat kesamaan dalam kalangan parti politik yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.
"Kami dalam reformasi ada juga slogan kita. Lawan tetap lawan...saya pun bimbang juga tu. Jadi kena ubah suai sikitlah. Sekarang (jadi) `Dulu Lawan Sekarang Kawan'. Kena tambah yang itu sahaja..," katanya.
Meneruskan mood perpaduan di antara parti politik, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika mengakhiri ucaptamanya dengan membeli pantun yang dijual oleh Wee dengan memberikan pantunnya yang tersendiri iaitu:
Dulu Lawan kini Kawan,
Lawan sampai jadi kawan,
Tak kira kawan ataupun lawan,
Yang penting Malaysia aman
Menteri Pengangkutan itu turut berseloroh bahawa tidak seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pulang ke gelanggang lama beliau berasa sedikit kekok dalam menyampaikan ucaptamanya di bangunan yang sering menjadi tempat berhimpunnya bekas seteru politiknya iaitu UMNO.
"Semasa saya menceburi politik dan menyertai parti saya tidak pernah terlintas dalam fikiran saya pada suatu hari nanti saya akan berucap di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia saya rasa tiada sesiapa daripada parti saya (DAP) yang terlintas dalam fikiran mereka termasuk Gobind (Singh).
Saya mengakui bahawa saya sedikit gugup hari ini biasanya atas pentas saya tak perlukan nota tetapi hari ini saya perlukan nota ini pengalaman baharu saya mungkin untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau dah banyak pengalaman," selorohnya.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #PRU15 #UMNO #MCA
;