Konvensyen Francais ASEAN Mei ini rancakkan ekosistem francais serantau - Ewon

Bernama
Februari 27, 2025 21:45 MYT
Ewon berucap pada Majlis Pelancaran FIM2025 dan AFC2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Konvensyen Francais ASEAN (AFC) yang julung kali diadakan pada Mei ini di ibu negara sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dianjurkan antara lain sebagai usaha memperkukuh ekosistem francais di rantau Asia Tenggara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata AFC yang akan diadakan bersama Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dijangka menarik penyertaan ratusan jenama francais serta puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata penganjuran AFC pada 7 dan 8 Mei, serta FIM dari 8 hingga 10 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan menjadi platform utama bagi sesi perkongsian strategik, pameran francais serta peluang jaringan perniagaan.
"Penganjuran program ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengangkat industri francais sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.
"Konvensyen dan pameran ini bukan sahaja memperkukuh jenama francais tempatan ke peringkat global, tetapi juga menarik pelaburan asing serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan ASEAN," katanya dalam ucapan sebelum melancarkan AFC dan FIM di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr Radzali Hassan dan Naib Pengerusi MFA Datuk Zahriah Abd Kadir.
AFC yang dianjurkan dengan kerjasama kementerian dan MFA bakal mengetengahkan tema "Membentuk Masa Depan Francais di ASEAN: Kemampanan, Digitalisasi, dan Pertumbuhan" dengan memberi fokus aspek kemampanan francais, transformasi digital serta pengembangan industri francais.
FIM yang diiktiraf World Franchise Council dan Asia Pacific Franchise Confederation pula dianjur pihak sama dan dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung dengan nilai jualan francais melebihi RM600 juta.
Radzali berkata kedua-dua program berkenaan merupakan platform penting dalam meningkatkan daya saing francais tempatan di peringkat antarabangsa.
"Industri francais Malaysia telah membuktikan keupayaannya untuk berkembang pesat dan bersaing di peringkat global. Melalui platform ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak kolaborasi dan inovasi dalam sektor francais ASEAN," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai penyertaan usahawan ke FIM yang sehingga kini, hanya lebih 70 peratus daripada ruang pameran telah diisi lebih 80 jenama francais daripada pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan.
-- BERNAMA
#KLCC #ASEAN #usahawan #pendidikan
;