Kontroversi rumah tangga: 'Biar mahkamah saja tentukan' - Farid Kamil
Astro Awani
Mac 20, 2023 17:22 MYT
Mac 20, 2023 17:22 MYT
KUALA LUMPUR: "Biar mahkamah yang tentukan apa."
Begitu reaksi ringkas suami Diana Danielle, Farid Kamil ketika ditanya mengenai tindakan isterinya yang memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari dekat sini, pada Isnin.
Biarpun berdepan konflik rumah tangga, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu memaklumkan fokusnya adalah mencari nafkah.
" Saya tengah shooting mencari nafkah," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.
Menerusi satu portal berita pada Isnin, Farid Kamil berharap isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan jalan perdamaian.
Katanya lagi, keengganan melafazkan talak juga disebabkan masih sayangkan keluarganya.
"Saya masih sayangkan Diana dan tentunya, dua cahaya mata, Muhammad dan Aurora," katanya.
Dalam pada itu, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari turut menafikan wujud krisis antaranya dan Diana hingga membawa keretakan dalam hubungan mereka.
Astro AWANI turut difahamkan, pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung.
Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan pelakon itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan permohonan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.
Diana atau nama penunya, Diana Danielle Danny Beeson, mendirikan rumah tangga dengan Farid pada 2012 dan dikurniakan cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.