Kontroversi pensijilan halal berlaku sebab salah faham - Teresa

Astro Awani
September 13, 2024 08:15 MYT
Teresa ketika bergambar bersama Sirajuddin dan Mohamad Zamri di Parlimen. - Foto Facebook/Teresa Kok
KUALA LUMPUR: Kontroversi pensijilan halal yang berlaku baru-baru ini adalah atas sebab salah faham daripada pelbagai pihak.
Naib Presiden DAP Teresa Kok berkata oleh itu, beliau menyerahkan kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memberi penjelasan mengenai isu itu.
Dalam catatan di akaun Facebook miliknya, Teresa berkata, beliau berjumpa dengan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee serta Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi di Parlimen pada Khamis.
"Sirajuddin berkata mereka datang ke Parlimen selepas memberi keterangan kepada pegawai polis di Bukit Aman.
"Ini berkenaan kontroversi pensijilan halal yang melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan saya.
"Oleh itu saya rasa adalah lebih baik JAKIM memberi penjelasan mengenai isu ini," katanya.
Khamis lalu, Mohd Na'im berkata, JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Sehari kemudian Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
#Teresa Kok #pensijilan halal #JAKIM #Mohd Na'im Mokhtar
;